Penganjuran LTdL 2026 masih samar?

Penganjuran LTdL 2026 masih samar?

Penganjuran LTdL 2025 mendpat pujian UCI - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masa depan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun hadapan masih menjadi tanda tanya apabila mandat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berakhir tahun ini.

Walaupun edisi 2025 yang melabuhkan tirai kelmarin dianggap antara yang terbaik pernah dianjurkan dengan penarafan ‘all green’ oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta pengarah perlumbaan, namun persoalan kini tertumpu kepada siapa yang akan mengemudi penganjuran bagi tempoh seterusnya.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, keputusan muktamad berhubung hak penganjuran LTdL akan ditentukan oleh Jemaah Menteri selepas laporan penuh kejohanan dibentangkan tidak lama lagi.

“Mandat yang diberikan Kabinet sebelum ini hanya untuk tiga tahun, dari 2023 hingga 2025.

“Jadi, selepas edisi tahun ini, kita akan serah laporan kepada Kabinet untuk mendapatkan mandat baharu bagi penganjuran akan datang,” katanya.

Menurut Jefri, lesen penganjuran LTdL daripada UCI turut beroperasi dalam kitaran tiga tahun, dan Malaysia mempunyai tempoh sehingga Mac tahun depan untuk memperbaharuinya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa seandainya mandat penganjuran diberikan kepada pihak lain sama ada MSN, KBS atau penganjur luar perlumbaan itu tidak akan berdepan sebarang kekangan besar.

“Kita sudah ada blueprint penganjuran lengkap. Manual dan template semua disediakan hasil pengalaman tiga tahun. Kalau ada pihak lain yang ambil alih nanti, semua dokumen ini boleh digunakan sepenuhnya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, UCI turut memuji tahap penganjuran LTdL 2025 yang disifatkan antara terbaik di rantau Asia, malah menjadi contoh kepada negara lain.

“UCI beritahu, inilah antara perlumbaan terbaik yang Malaysia pernah anjurkan. Mereka kagum dengan tahap profesionalisme kita dan melihat Malaysia sebagai rujukan untuk kejohanan lain di masa depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN