LISBON: Cristiano Ronaldo sekali lagi bakal mencipta sejarah tersendiri apabila dijangka mengetuai Portugal pada Piala Dunia 2026 yang bakal menjadi penampilan keenamnya di pentas paling berprestij dunia itu.
Pada usia 41 tahun ketika kejohanan berlangsung tahun depan, Ronaldo masih menjadi sandaran utama Roberto Martinez yang dilaporkan terus menaruh kepercayaan penuh kepada legenda Portugal itu meskipun memiliki penyerang muda berbakat.
Ronaldo, yang kini beraksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi, terus menunjukkan ketajaman luar biasa di peringkat antarabangsa apabila meledak 25 gol untuk Portugal sejak tahun 2023, jauh mengatasi pencabar utamanya, Goncalo Ramos yang hanya menjaringkan enam.
Dua gol ketika menentang Hungary pada Selasa lalu menjadikan Ronaldo penjaring terbanyak dalam sejarah kelayakan Piala Dunia dengan 41 gol, dan keseluruhan kariernya kepada 948 jaringan.
Karier antarabangsa Ronaldo pernah dianggap berakhir selepas Portugal disingkirkan oleh Maghribi di suku akhir Piala Dunia 2022, dengan riak wajahnya menangis menjadi simbol kekecewaan.
Namun, kehadiran Martinez mengubah haluan apabila jurulatih itu memilih untuk mengekalkan Ronaldo sebagai tunjang utama skuad.
Bekas bintang Manchester United itu pernah membantu Portugal menjulang semula trofi Liga Negara-Negara Eropah tahun ini selepas kali pertama memenanginya pada tahun 2019 dan sekali lagi menangis kegembiraan ketika meraikan kejayaan di Munich.
Ronaldo kini meniti perjalanan dua dekad sejak debut Piala Dunia 2006 di Jerman bersama Wayne Rooney.
Ketika Rooney sudah bersara dan menjadi pengulas, Ronaldo masih beraksi di peringkat antarabangsa dan terus mempamerkan aksi menakjubkan.
Sepanjang kariernya, pemenang lima kali Ballon d’Or itu sudah menjulang trofi liga di England, Sepanyol dan Itali menjadikan pencapaian Ronaldo lebih baik berbanding Lionel Messi.
Messi bagaimanapun mengatasi Ronaldo dengan mengumpul lapan Ballon d’Or dan memenangi trofi Piala Dunia iaitu satu-satunya kejuaraan yang belum mampu dijulang bintang Portugal itu.
Bagaimanapun jika mampu menambah koleksi jaringan ke-1,000 menjelang akhir kariernya dan menamatkan penantian dengan kejuaraan dunia, Ronaldo berpotensi menutup kisahnya sebagai legenda terhebat bola sepak moden. – AGENSI