LONDON: Arsenal berpeluang merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), jika Liverpool gagal menamatkan rentetan kekalahan dalam kunjungan ke Stamford Bridge untuk menentang Chelsea, malam ini.
Arsenal kini hanya dua mata di belakang Liverpool selain memiliki perbezaan jaringan lebih baik, skuad The Reds memerlukan kebangkitan segera walaupun sudah mencatat lima kemenangan daripada enam aksi liga sebelum ini.
“Dengan Arsenal menang pada saat akhir, mereka kelihatan semakin berada di atas momentum. Liverpool perlukan reaksi segera, tetapi aksi di Chelsea bukan mudah. Saya jangkakan kemenangan 3-1 untuk Liverpool,” kata bekas penyerang Liverpool, Peter Crouch.
Arsenal yang menewaskan Newcastle United 2-1 pada Ahad lalu hasil jaringan Gabriel di masa kecederaan, akan melayan kunjungan West Ham United yang kini di bawah kendalian pengurus baharu, Nuno Espirito Santo.
Kemenangan ke atas pasukan yang memiliki rekod pertahanan paling rapuh dalam liga itu mampu meletakkan Arsenal di puncak carta dan kekal di sana sekiranya Liverpool hanya mencatat keputusan seri atau tewas.
Liverpool yang tewas 1-2 kepada Crystal Palace hujung minggu lalu dalam saingan liga, turut dikecewakan Galatasaray 0-1 pada aksi Liga Juara-Juara (UCL), Selasa lalu, selain kehilangan penjaga gol utama, Alisson akibat kecederaan.
Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Arne Slot di ambang tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan domestik dan Eropah.
Chelsea juga berdepan masalah sama apabila berisiko tewas kali ketiga berturut-turut dalam liga, namun kembali mencatat kemenangan di pentas Eropah selepas menundukkan Benfica 1-0 di Stamford Bridge, Selasa lalu.
Penyerang Perancis, Hugo Ekitike yang dikeluarkan di Turkiye akibat kekejangan dijangka kembali diturunkan, manakala pembelian rekod, Alexander Isak juga berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama bersama Mohamed Salah selepas hanya bermula di bangku simpanan ketika menentang Galatasaray.
Chelsea pula dijangka beraksi tanpa lapan tonggak utama, termasuk Trevoh Chalobah yang digantung selepas menerima kad merah ketika tewas 1-3 kepada Brighton.
Sementara itu, pemain tengah England, Cole Palmer terus berada dalam senarai kecederaan akibat masalah pangkal paha.- AGENSI