PETALING JAYA: Penyerang Kuching City, Jordan Mintah bersedia menggalas tugas selaku penggempur utama skuad kebangsaan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Khamis ini di Vientiane.
Pemain kelahiran Ghana itu mendapat mendapat panggilan buat kali pertama menyertai skuad Harimau Malaya selepas mendapat taraf kewarganegaraan pada Ogos lalu selepas lebih lima tahun beraksi di Malaysia.
Ketiadaan tujuh pemain warisan negara susulan penggantungan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), dilihat peluang terbaik untuk Mintah membuktikan dirinya layak dan membalas kepercayaan Peter Cklamovski.
Jaringan tunggal yang dihasilkannya ketika membantu skuad The Cats menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Likas, kelmarin menambahkan lagi motivasi buat Mintah untuk membantu Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Tegasnya, perkara paling penting adalah semua pemain perlu bekerja keras untuk bersama-sama memberikan persembahan terbaik dan membuatkan seluruh penyokong Harimau Malaya bangga.
“Saya hanya buat yang terbaik dan kami perlu bekerja keras bersama-sama untuk membawa pasukan negara melangkah ke hadapan. Kami akan berjuang untuk negara, jadi kami harus memberikan yang terbaik 100 peratus dan membuat negara bangga,” kata penyerang berusia 30 tahun itu.
Mintah menjadi antara tiga muka baharu yang dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski bagi aksi menentang Laos selain Declan Lambert dan Muhammad Ramadhan Saifullah.
Harimau Malaya terbang ke Laos, semalam bagi mengharungi aksi ketiga Kumpulan F di Vientiane, Khamis ini sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertembung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 Oktober ini.
Pemain yang berpangkalan di luar negara seperti Dion Cools (Cerezo Osaka), Richard Chin (Raith Rovers) dan Sergio Aguero (Kanchanaburi Power) turut berlepas ke Laos bersama pasukan kebangsaan.
Sementara itu, bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali percaya Mintah mampu menjadi aset skuad negara di bahagian serangan kerana dia memiliki beberapa kelebihan yang dapat membantu skuad kebangsaan.
“Saya lebih suka pergerakan dia (Mintah). Dia pandai mengambil peluang dan berada di tempat yang sesuai untuk menjaringkan gol. Dia bukanlah pemain yang laju, (tubuh) fizikal dia pun taklah terlalu tegap (jika dibandingkan) dengan pemain lain.
“Tapi dia memiliki naluri bola sepak yang tinggi sedikit daripada pemain tempatan dan saya rasa itu membuktikan beliau layak berada dalam skuad Harimau Malaya,” ujarnya.-UTUSAN