JOHOR BAHRU: Pengendali skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum skuad kendaliannya melangkah ke Piala Dunia Remaja dari 28 November hingga 10 Disember depan.
Nor Saiful berkata, walaupun Young Tigers hanya menamatkan saingan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di tempat kelima, pasukan menunjukkan prestasi yang memuaskan.
“Jadi, saya rasa bagus lah persembahan kali ini, sebelum Piala Dunia kita dapat belajar sesuatu dan mungkin ada perkara yang boleh diperbaiki untuk tampil lebih kemas di sana nanti.
“Cuma ada lagi kelemahan-kelemahan yang kita nampak dari segi untuk memenangi perlawanan contohnya dengan Australia, Britain dan India. Saya rasa kita tak jauh sangat, tapi kita masih belum boleh menang.
“Untuk perancangan sebelum Piala Dunia, kita akan lihat semula kelemahan dan kelebihan yang ada di sini,” ujarnya.
SOJC edisi ke-13 yang melabuhkan tirainya malm tadi menyaksikan Australia muncul juara buat kali ketiga menewaskan India 2-1 manakala pasukan tuan rumah sekadar di tempat kelima menewaskan New Zealand 5-3.
Menjelang aksi Piala Dunia Remaja itu, Nor Saiful berkata, pasukan akan memberi tumpuan pada beberapa aspek seperti ketahanan fizikal, pukulan sudut penalti, pertahanan serta penyudah gol yang perlu diperkemaskan.
Tambahnya, pasukan turut merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan antaranya menentang pasukan Ireland sebelum kejohanan terbesar itu.
“Lawan kita nanti adalah pasukan dari Eropah iaitu Belanda, England dan Austria. Mereka tahu cara kita bermain, jadi kita kena bersedia menghadapi corak permainan Eropah yang tersusun dan fizikal mereka yang lebih kuat.
“Kita tahu Piala Dunia tidak semudah SOJC, jadi kita perlu tingkatkan lagi corak permainan dan aspek lain yang berkaitan.
Perlu perlu bijak kenal pasti apa yang boleh dan tak boleh dilakukan dalam proses permainan,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini, beliau masih belum memuktamadkan pemain yang akan dibawa ke Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Tamil Nadu, India pada 8 hingga 10 Disember depan.
“Setakat ini, kita ada 25 pemain dalam skuad, dan hari ini kita gunakan 18, tujuh pemain lagi masih bersama pasukan. Bukan bermakna 18 orang ini sahaja yang akan ke Piala Dunia.
“Kita akan kembali kepada senarai 25 pemain dan pilih berdasarkan prestasi serta kesediaan masing-masing. Kita akan bawa 20 pemain ke sana, dengan 18 didaftarkan dan dua lagi akan ikut bersama pasukan sebagai simpanan,” ujarnya.-UTUSAN