KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Red Warriors FC (KRW), Irfan Bakti Abu Salim belum berpuas hati dengan penyudah skuad kendaliannya biarpun menang 4-0 ke atas Machan FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
Irfan Bakti berkata, kegagalan menyudahkan deretan peluang tidak lagi boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan corak permainan kemas yang dipamerkan pada setiap perlawanan.
“Bayangkan selepas empat seri dan dua kali kalah baru kita berjaya raih kemenangan. Kalau kami main ‘buruk’ tak apa tetapi kami ‘main cantik’ serta ada peluang, namun tidak boleh menjaringkan gol dan itulah juga yang berlaku pada separuh masa pertama.
“Saya beritahu pemain tidak boleh ada lagi seri atau kalah. ‘Full stop’ dan alhamdulillah di separuh masa kedua kita peroleh empat gol. Sungguhpun tidak cantik tetapi gol,” katanya selepas perlawanan itu.
Irfan Bakti berkata, antara pesanannya kepada pemain adalah mengingatkan mereka bahawa pasukan lawan tidak pernah bermain pada sebelah malam sambil meminta barisan pemain KRW memastikan jangan beri Machan FC ‘galak’ di padang.
“Memang mereka (Machan) ‘galak’ pada separuh masa pertama. Alhamdulillah dua gol awal dalam babak kedua membawa titik perubahan kepada perlawanan malam kini sebelum disusuli dua gol lagi di penghujung masa perlawanan.
“Kemenangan ini adalah pendedahan penting buat barisan pemain saya sebagai bekalan persediaan untuk perlawanan seterusnya. Masalah kita masih lagi ketumpulan penyudah. Bukan kerana pemain gugup tetapi tidak ‘compose’ atau tidak tenang bila di hadapan pintu gol,” katanya.
Katanya, insiden layangan kad merah kepada Mohamad Alif Romli turut menjadi perhatiannya, mendorong beliau berpesan agar setiap pemain KRW mengawal emosi agar tidak merugikan pasukan.
Selepas ini katanya, tumpuan Kelantan KRW beralih kepada persediaan untuk menghadapi Perlis GSA FC di Stadium Sultan Muhammad IV pada 18 Oktober nanti dan pemain-pemain akan diberikan rehat selama dua hari sebelum kembali ke padang latihan bermula Isnin ini.-UTUSAN