Korda tarik diri kejohanan International Crown

Korda tarik diri kejohanan International Crown

NELLY Korda.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pemain golf wanita nombor dua dunia, Nelly Korda, mengumumkan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Hanwha Lifeplus International Crown yang dijadual berlangsung di Korea Selatan hujung bulan ini, susulan masalah kecederaan dan keletihan melampau.

Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dalam kenyataan rasmi hanya memaklumkan penarikan diri Korda berpunca daripada kecederaan, namun juara utama dua kali itu mengakui tubuhnya kini “benar-benar keletihan” selepas melalui musim panjang yang memenatkan.

“Saya boleh katakan menjelang hujung musim, tubuh saya terasa amat letih. Beberapa kecederaan lama juga masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan rawatan fisioterapi serta terapi harian,” katanya.

Ketiadaan Korda menyaksikan tempatnya dalam skuad Amerika Syarikat digantikan oleh Yealimi Noh, yang akan bergandingan dengan Angel Yin, Lauren Coughlin dan Lilia Vu bagi menghadapi saingan berpasukan yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober.

Nelly, yang menamatkan musim gemilang tahun lalu dengan tujuh kejuaraan, masih belum meraih sebarang kemenangan pada musim 2025.

Dalam perkembangan sama, pemain Thailand, Patty Tavatanakit, turut menarik diri daripada kejohanan berprestij itu. 

Tempatnya akan diisi oleh Pajaree Anannarukarn bagi mengukuhkan skuad juara bertahan Thailand yang turut dibarisi Jeeno Thitikul, Ariya Jutanugarn dan Chanettee Wannasasen.

Kejohanan Hanwha Lifeplus International Crown menghimpunkan lapan pasukan terbaik dunia dalam format berpasukan, sekali gus menjadi antara pentas paling berprestij dalam kalendar golf wanita antarabangsa. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN