Konsistensi terus jadi musuh Jun Hao

Konsistensi terus jadi musuh Jun Hao

Leong Jun Hao tumbang seawal pusingan pertama di Terbuka Hylo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen mengakui Leong Jun Hao berdepan masalah konsistensi selepas sekali lagi tersingkir di pusingan pertama di Terbuka Hylo 2025.

Menurut Jonassen, prestasi pemain berusia 26 tahun itu terlalu tidak menentu hingga menyukarkan dirinya mengekalkan momentum selepas setiap kejohanan.

“Secara keseluruhan, ia keputusan yang amat mengecewakan tetapi saya tetap menghargai semangat juang Jun Hao yang tidak pernah berputus asa.

“Namun kelemahan paling ketara ialah dari segi konsistensi. Terlalu banyak kesilapan ketika berada dalam posisi menyerang dan itu jelas menjejaskan keyakinan serta rentak permainannya,” kata Jonassen.

Jun Hao kelmarin tewas pada pusingan pertama di Saarbrucken, Jerman, selepas tunduk 14-21, 21-18, 16-21 kepada pemain India No.65 dunia, S. Sankar Muthusamy Subramanian dalam pertarungan selama 72 minit.

Kekalahan itu juga melengkapkan rentetan empat penyingkiran awal berturut-turut selepas tumbang di Terbuka Korea, Denmark dan Perancis menentang pemain elit dunia seperti Viktor Axelsen dan Li Shi Feng.

Jonassen menegaskan masalah tersebut bukan baharu, sebaliknya telah diperhatikan sejak hampir 10 bulan lalu dan kini semakin memberi kesan terhadap prestasi Jun Hao.

“Hari ini hanya mengesahkan apa yang saya lihat sejak sekian lama. Corak permainan yang masih belum stabil dan terlalu mudah berubah-ubah mengikut tekanan lawan,” katanya.

Beliau turut menambah tahap kecergasan pemain ranking ke-22 dunia itu belum mencapai tahap yang diperlukan untuk bersaing pada tahap tertinggi, menyebabkan lawan mudah mengambil kesempatan.

“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, dan kebanyakan daripadanya perlu datang daripada usaha Jun Hao sendiri jika dia mahu kembali ke tahap terbaiknya,” tegas Jonassen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN