Ketiadaan Dania rencat persiapan skuad muda

Kecedraan Dania rencat persiapan skuad muda

DANIA Sofea Zaidi (kanan) berdepan kecederaan ACL.-IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang menimpa Dania Sofea Zaidi telah menjejaskan perancangan skuad muda negara menjelang Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Guwahati Assam, India pada 6 hingga 19 Oktober ini.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, ketiadaan Dania memang dirasai kerana dia merupakan pemain penting yang beraksi dalam dua acara iaitu beregu perempuan dan campuran untuk skuad muda Malaysia.

“Realitinya memang dia diperlukan, untuk acara berpasukan itu sangat penting, sebab dia merupakan pemain utama dalam beregu wanita dan campuran.

“Jadi, bila dia tiada, kita kena terima dan untuk mencari pengganti bukan satu tugas mudah kerana kita perlu mencari seorang pemain yang memiliki sama tahap dengan Dania,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan berakhir di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Dania yang bakal menginjak usia ke-18 tahun pada 6 November ini ditimpa kecederaan ACL sewaktu menyertai Kejohanan Berpasukan Campuran Bawah-18 di Pulau Pinang, Ogos lalu.

Mengulas mengenai tempoh yang diperlukan Dania untuk pulih sepenuhnya, menurut
Rosman, apa yang pasti bukan tahun ini dan pihaknya amat berharap proses pemulihan tidak mengambil masa yang lama.

“Di pihak kami, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara), kita telah melaksanakan tugas dengan sempurna, saya rasa proses pembedahannya berjalan lancar dan jika fokus pemulihan diberikan, harap dia dapat kembali secepat yang mungkin,” katanya.

Dalam saingan beregu perempuan, Dania berpasangan dengan Low Zi Yu, manakala, bagi beregu campuran, pemain itu bergandingan bersama Datu Anif Isaac Datu Asrah.

Datu Anif ketika ditemui berkata, ekoran ketiadaan Dania, dia akan dipasangkan dengan Zi Yu dalam acara beregu campuran dan untuk beregu perempuan pula, Zi Yu bakal bergandingan bersama Noraqilah Maisarah Ramdan.

“Kita kena ambil positif dengan apa yang berlaku dan mungkin perubahan ini boleh mengelirukan lawan yang ketiadaan data tentang saya dan pasangan baharu,” katanya.

Pemain berusia 18 tahun itu berkata, siapapun pasangan yang digandingkan, masing-masing ada kelebihan dengan Zi Yu yang memiliki ketinggian boleh bertukar posisi bermain di belakang dengannya, manakala, Dania bijak ketika permainan dijaring.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN