Kecederaan Su Yin sekat langkah ke Eropah

Kecederaan Su Yin sekat langkah ke Eropah

HOO Pang Ron-Cheng Su Yin terlepas tiga kejohanan di jelajah Eropah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk beraksi dalam siri jelajah Eropah bulan ini tidak kesampaian selepas Su Yin mengalami kecederaan buku lali.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto memaklumkan pasangan No. 19 dunia itu terpaksa menarik diri daripada tiga kejohanan utama iaitu Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo di Jerman.

“Pang Ron-Su Yin tidak jadi berangkat ke Eropah kerana Su Yin mengalami kecederaan di bahagian buku lali,” kata Nova kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.

Pasangan itu dijangka kembali ke gelanggang pada Kumamoto Masters di Jepun bermula 11 November ini, namun ia bergantung kepada tahap pemulihan Su Yin yang kini sedang menjalani rawatan intensif.

“Kira-kira dalam empat hingga lima minggu baru pulih mengikut laporan doktor, jadi mungkin mereka akan kembali beraksi di Kumamoto Masters bulan depan kalau sudah baik sepenuhnya,” jelasnya.

Ini bukan kali pertama pemain berusia 22 tahun itu diuji kecederaan, apabila sebelum ini terpaksa berehat panjang akibat masalah hamstring yang dialami selepas Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Kecederaan berkenaan memaksa mereka menarik diri daripada tiga kejohanan berturut-turut iaitu Malaysia Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia sebelum kembali beraksi pada Terbuka Jepun, Julai lalu.

Su Yin juga pernah tergelincir di tangga selepas perlawanan di Perancis pada Mac lalu yang menyebabkan dia dan Pang Ron menarik diri daripada aksi suku akhir Orleans Masters menentang gandingan Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN