Kane nadi kebangkitan Bayern

Kane nadi kebangkitan Bayern

Harry Kane meledak dua gol ketika Bayern Munich membenam Cologne 4-1. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOGNE: Harry Kane menjadi nadi kebangkitan Bayern Munich apabila meledak dua gol ketika menewaskan Cologne 4-1 dalam pusingan kedua Piala Jerman, semalam.

Keputusan itu melebarkan rekod kemenangan sempurna Bayern kepada 14 perlawanan musim ini dalam semua kejohanan, sekali gus melakar rekod baharu kelab di pentas Eropah.

Bayern menjadi kelab pertama dari lima liga utama Eropah yang memenangi 14 perlawanan berturut-turut sejak permulaan musim, mengatasi rekod AC Milan dengan 13 kemenangan pada kempen 1992-93.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan itu, wujud kebimbangan pemain utama Bayern akan mengalami keletihan kerana berdepan jadual padat untuk semua saingan musim ini.

Pengendali Bayern, Vincent Kompany menegaskan dia tidak bimbang tahap intensiti tinggi permainan pasukannya yang akan membawa kepada keletihan pemain.

“Di babak pertama, Cologne bermain dengan penuh semangat dan memenangi beberapa situasi satu lawan satu serta bijak dalam situasi bola mati. Namun di babak kedua, kami tampil lebih kuat.

“Semua orang ada pengalaman tersendiri. Sebagai pemain, saya pernah mengutip 198 mata dalam dua musim bersama Manchester City. Kami melalui dua musim dengan penuh konsisten. Kami perlu gunakan keseluruhan skuad.

“Kami juga ada pemain yang akan kembali daripada kecederaan dan itu tidak akan mengurangkan intensiti permainan,” katanya selepas perlawanan.

Selepas ini, Bayern akan menerima kunjungan Bayer Leverkusen pada Sabtu sebelum berdepan juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara minggu depan.

Terdahulu dalam aksi itu, Bayern bermula perlahan apabila Cologne mencipta beberapa peluang baik sebelum Ragnar Ache menanduk masuk gol pendahuluan pada minit ke-31.

Namun Bayern hanya memerlukan lima minit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Luis Diaz, walaupun kelibat pemain Colombia itu kelihatan berada dalam kedudukan ofsaid dengan VAR tidak digunakan dalam saingan Piala Jerman.

Penyerang utama mereka, Kane, kemudian melengkapkan kebangkitan pada minit ke-38 dengan gol kedua menakjubkan.

Diaz berpeluang menambah jaringan pada minit ke-53 tetapi sepakannya tersasar, sebelum Kane memastikan kemenangan 11 minit kemudian apabila menanduk masuk daripada situasi sepakan penjuru.

Michael Olise menambah derita Cologne apabila mudah menolak masuk gol keempat pada minit ke-72 hasil umpanan Diaz bagi melengkapkan kemenangan 4-0 Bayern. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN