JDT mara ke suku akhir Piala FA

JDT mara ke suku akhir Piala FA

PENYERANG JDT Heberty Fernandes meraikan gol pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA menentang UM-Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA dengan agregat 10-3 setelah menewaskan UM-Damansara 5-3 pada aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

JDT yang memiliki bekalan selesa dengan lima jaringan pada perlawanan pertama sebelum ini membariskan skuad kedua bagi aksi timbal balik berdepan pasukan Liga A1 Semi Pro itu.

Anak buah Xisco Munoz itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan seawal minit ketiga berpunca hantaran lintang Manuel Hidalgo kepada Romel Morales yang menanduk bola itu menewaskan penjaga gol pelawat, Haziq Fitri Nek Lah.

Lima minit berselang, giliran Hidalgo pula mencipta jaringan apabila mudah menggelecek Muhammad Ghaffar Abdul Rahman sebelum melepaskan rembatan lencong yang melepasi jangkauan Haziq Fitri.

JDT terus menekan anak buah Ridzuan Abu Shah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-15 apabila Nazmi Faiz Mansor mengumpan bola kepada Heberty Fernandes yang membuat larian ke dalam kotak penalti dan melakukan rembatan lerek menggunakan kaki kanan ke penjuru kanan gawang.

Moussa Sidibe berpeluang menjarakkan kedudukan buat pasukan tuan rumah pada penghujung babak pertama namun Aris Mohd. Asri pantas mengeluarkan bola sebelum ini melintasi garisan gol.

Bersambung babak kedua, JDT yang semakin selesa di hadapan dengan aggregat 8-0 mula memperlahan tempo permainan.

Berbeza pula dengan pasukan pelawat yang masih memberi tentangan terus memberi tekanan kepada pasukan juara bertahan itu.

Hasil usaha UM-Damansara itu membuahkan hasil apabila penjaga gol JDT, Christian Abad melakukan aksi blunder ketika mahu membuat hantaran kepada Corbin Ong dan Thankgod Michael yang berada berhampiran pantas menolak bola ke gawang kosong itu pada minit ke-62.

JDT sekali lagi melakukan kesilapan di bahagian pertahanan apabila Corbin Ong yang menunggu bola lontaran ke dalam disambar oleh Michael sebelum mengumpan bola kepada Anuar Ceesay yang melakukan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-66.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT mempertingkat tempo serangan dan kembali menjarakkan kedudukan menerusi sepakan sudut Heberty yang disudahkan Morales yang melonjak tinggi mengatasi Haziq Fitri pada minit ke-70.

Pada minit ke-74, UM-Damansara kembali merapatkan kedudukan setelah Ceesay menjaringkan gol kedua peribadinya apabila bijak melepasi kawalan pemain pertahanan JDT sebelum melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Abad.

Pada penghujung permainan, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah pengadil perlawanan, Syed Fazeel Shah Syed Anwar Shah setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Brandon Liew.

Morales yang mengambil sepakan penalti itu bagi melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan tersebut dinafikan Haziq Fitri yang melayangkan badan ke arah tepat dan menepis bola tersebut.

Bagaimanapun, hatrik yang diburu penyerang kebangsaan itu hadir jua pada penghujung permainan apabila dia pantas menyambar hantaran Sidibe di dalam kotak penalti menjadi kedudukan 5-3.

JDT akan berdepan Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN