Izzah enggan ulang kesilapan sama

Izzah enggan ulang kesilapan sama

Nuru Izzah Izzati Mohd Asri-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri mahu beraksi lebih mantap dalam acara keirin pada Kejohanan Dunia di Santiago, Chile yang membuka tirai pusingan pertama malam ini.

Selepas menamatkan saingan pecut individu lebih awal kelmarin, pelumba berusia 22 tahun itu kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada keirin yang menjadi acara kegemarannya sejak mula bergelar atlet kebangsaan.

“Untuk acara keirin nanti, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan menggunakan peluang itu untuk menebus semula prestasi saya.

“Tahun lalu saya mara ke separuh akhir, jadi sasaran kali ini adalah sekurang-kurangnya untuk menyamai atau memperbaiki pencapaian tersebut,” kata Izzah.

Izzah akan turun dalam aksi pusingan pertama pada pukul 10 malam waktu Malaysia dijangka berdepan pelumba pilihan termasuk juara dunia 2024 keirin dari Jepun, Mina Sato dan juara Olimpik dari New Zealand, Ellesse Andrews.

Menurutnya, pengalaman menentang Andrews pada aksi pecut pusingan pertama pada Jumaat lalu sebagai medan pembelajaran berguna dalam memperkukuh taktikal dan keyakinan diri menjelang acara keirin nanti.

“Secara keseluruhan, catatan masa saya ketika kelayakan (pecut) tidak seperti yang diharapkan, dan ada beberapa perkara teknikal yang perlu saya perbaiki. Apa pun, saya akan ambil ini sebagai pengajaran untuk tampil lebih baik selepas ini,” katanya.

Ketua jurulatih negara, Harnizam Basri sebelum ini yakin acara keirin memberi peluang lebih luas kepada Izzah untuk menyerlah berbanding pecut kerana kekuatan utama pelumba muda itu ialah pecutan akhir di laluan lurus.

Izzah kini dalam misi memperbaiki kedudukan ketujuh dunia yang dicapainya tahun lalu di Ballerup, Denmark sambil menjadikan aksi di Chile sebagai pentas penting menutup kempen musim ini dengan gemilang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN