KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) berdepan tugas getir untuk memastikan laluan ke peringkat seterusnya apabila sekadar terikat 1-1 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam ini.
Penyerang baharu TFC, Gervane Kastaneer memberi kelebihan kepada tuan rumah menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-16 yang menerjah ke sebelah kiri gawang pasukan City Boys.
Ia adalah jaringan pertama Kastaneer dalam dua penampilannya bersama TFC selepas menyertai skuad Sang Penyu hujung bulan lalu.
Jaringan itu hadir menerusi penguasaan awal pasukan tuan rumah yang berterusan mengasak kubu pelawat sehingga membuahkan hasil.
Terkejut dengan jaringan tersebut, KL City meningkatkan aksi sehingga mampu menguasai permainan tetapi buntu memecah gawang TFC sehingga babak pertama permainan berakhir.
Tiga minit selepas babak kedua permainan bersambung, KL City hampir menyamakan kedudukan jaringan namun Victor Ruiz gagal memanfaatkan peluang terhidang selepas menerima hantaran Gomes Madger.
Kastaneer hampir menggandakan jaringan buat TFC pada minit ke-80 yang menyaksikan tendangannya tersasar.
Jaringan penyamaan yang dicari KL City akhirnya tiba pada minit ke-84 menerusi Nicalao Dumitru selepas menerima hantaran daripada Safawi Rashid.
Pada hujung permainan, Mohamad Baqiuddin Shamsudin menggembirakan seketika penyokong tuan rumah apabila menyungkit masuk bola ke dalam gawang pelawat, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Aksi timbal balik dijadual berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 13 Februari ini. – UTUSAN










