SEPANG: Prestasi baik yang dipamerkan Hakim Danish Ramli pada sesi latihan bebas, semalam telah menarik minat pasukan No. 2 dunia, MT Helmets-MSI memberi fokus sepenuhnya kepada pelumba muda negara itu menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Gara-gara perhatian yang diberikan buat pelumba ‘wild card’ berusia 18 tahun itu, garaj yang disediakan untuk pasukan AEON Credit SIC Racing-MSI yang diwakili Hakim Danish terbiar kosong selepas sesi latihan pertama (FP1) berakhir.
Kesemua kru dan Hakim Danish sendiri telah berkumpul di garaj MT Helmets-MSI selepas anak jati Terengganu tersebut berada di kedudukan kelapan dengan catatan masa sepusingan 2 minit:11.317 saat (s) pada FP1 bagi kelas Moto3.
Utusan Malaysia difahamkan turut berada di dalam garaj itu selain jurutera MT Helmets-MSI ialah dua pelumba pasukan itu, Angel Piqueras dan Ryusei Yamanaka.
Pada sesi latihan berlangsung sebelah petang, Hakim mencatat masa sepusingan 2:11.820s yang menyaksikannya berada di kedudukan ke-11 dan sekali gus layak secara automatik ke saingan kelayakan 2 (Q2), hari ini.
Hakim Danish berkata, untuk hari pertama, sesi latihan berjalan dengan lancar dan dia sama sekali tidak menjangka dapat mencatat keputusan yang baik.
“Sasaran saya selepas ini ialah untuk mengejar kedudukan di kelompok hadapan pada sesi kelayakan, esok, dan berharap saya dapat perbaiki lagi skil saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai sasarannya, Hakim berkata, dia sememangnya mempunyai sasaran peribadi yang spesifik, tetapi, enggan berkongsi kepada umum.
“Biarlah saya simpan sendiri sasaran saya itu, tunggu sahaja pada kelayakan 2 nanti, tetapi, saya berharap dapat mengejar kelompok hadapan,” katanya yang gembira dapat sekali lagi bersaing dengan Brian Uriarte yang turut beraksi di Sepang.
Ekoran, fokus yang diterima pemenang tempat ketiga Piala RedBull MotoGP Rookies itu telah membangkitkan spekulasi terbaru mengenai masa depan Hakim Danish untuknya bergelar sebagai pelumba tetap bagi kelas Moto3, tahun depan.
Adakah perhatian yang diberikan, memberi bayangan pasukan itu berminat dengan bakat dimiliki Hakim Danish dan jika benar, maka, anak muda tersebut semakin merealitikan impiannya untuk ke Kejuaraan Motosikal Dunia.-UTUSAN










