SEPANG: Menyaksikan prestasi meyakinkan yang dipamerkan Hakim Danish Ramli, maka, tidak keterlaluan meletakkan harapan untuk melihat pelumba muda negara itu memburu gelaran ‘Rookie of The Year’ bagi kelas Moto3 pada penampilan sulung Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, beliau yakin Hakim Danish mampu berbuat demikian, walaupun, perlu berdepan persaingan daripada pelumba-pelumba lain yang juga laju dalam kelas Moto3.
“Moto3 sangat kompetitif, anda semua tahu dia mampu untuk rangkul gelaran ‘Rookie of the Year’ tahun depan, tetapi, pesanan saya kepada Danish, dia perlu kekalkan sikap berdisiplin dan teruskan dengan persembahan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Grand Prix Motosikal Malaysia berakhir di sini, semalam.
Beliau berkata, keyakinan itu hadir selepas menyaksikan prestasi yang dipamerkan Hakim Danish yang bersaing di atas tiket ‘wild card’ dan kelajuan jenteranya hampir sama dengan pemenang tahun lalu.
Namun begitu, katanya, nasib kurang menyebelahi pelumba berusia 18 tahun itu selepas terpaksa berdepan dengan kegagalan mekanikal pada jenteranya.
“Saya memang berharap dia dapat tamatkan perlumbaan, tetapi, seperti anda semua tahu, apa yang dirancang tidak semestinya menjadi, saya berharap pada masa akan datang, pasukan perlu lebih fokus kepada persediaan jentera dan lebih kompetitif,” katanya.
Shafriman berkata, penampilan sulung Hakim Danish sebagai pelumba tetap selepas beberapa tahun Malaysia ketiadaan wakil, diharap pelumba muda itu dapat memberikan persembahan yang terbaik.
“Bukan mudah untuk mendapatkan slot tersebut, jadi, saya berterima kasih kepada ZK Racing dan juga MSi kerana percaya kepada Hakim Danish untuk mewakili Malaysia.
“Saya pun telah bincang dengan pihak KBS dan juga pihak swasta untuk masuk dan terus memberikan sokongan kepada Hakim Danish di masa yang akan datang,” katanya. – UTUSAN










