Gamel gembira dalam kecewa

Gamel gembira dalam kecewa

PEMAIN Selangor, Muhamad Syahir Bashah (tengah) dikawal ketat oleh Kapten Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin yang berkesudahan Gergasi Merah tumpas 2-3, namun layak ke separuh akhir dengan agregat 6-3. Gambar: MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pengendali sementara Selangor FC (SFC), Christophe Gamel melakukan penggiliran pemain dalam kesebelasan utama hampir memakan diri selepas tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.

Bagaimanapun, kemenangan besar 4-0 di Paroi pada suku akhir pertama, 18 Oktober lalu membantu skuad Gergasi Merah layak ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 6-3.

Jelas Gamel, dia sedar keputusan yang diambil itu membawa kepada risiko besar namun memberi rehat kepada pemain tonggak juga menjadi keutamaan bagi memastikan momentum pasukan tidak terjejas.

Kekalahan itu sememangnya mengecewakan terutama selepas anak buahnya menunjukkan prestasi dibawah tahap sebenar namun tetap lega berjaya mara ke separuh akhir.

“Saya berada dalam mood 50-50. Gembira kerana kami layak ke separuh akhir, tetapi kecewa dengan kekalahan dan cara kami bermain.

“Saya terpaksa ambil risiko besar malam ini dengan melakukan pergiliran pemain, kami kehilangan dua pemain utama akibat kecederaan, itu sesuatu yang menyukarkan,” katanya.

Pada aksi itu, Selangor tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti Faisal Halim dan Nooa Laine yang hanya dimasukkan pada babak kedua, selain kehilangan penyerang Chrigor Moraes dan Alvin Fortes akibat kecederaan.

Gamel turut meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi beberapa pemain senior yang gagal menampilkan aksi seperti diharapkan, sambil menegaskan dia tiada pilihan selain membuat pertukaran awal untuk memperbaiki rentak permainan selepas ketinggalan 1-2 di babak pertama.

“Kalau sesuatu tidak menjadi, saya tidak tunggu sampai minit akhir untuk buat pertukaran. Saya buat perubahan segera kerana saya mahu pasukan kekal agresif.

“Ini menunjukkan masalah tidak konsisten kami. Lawan KL (Kuala Lumpur) City, (Ahad lalu) pertahanan kami kukuh. Malam ini pula ia jadi bahagian paling lemah pasukan. Tapi ini proses. Ia tak boleh diperbetulkan dalam satu atau dua sesi latihan,” jelasnya.

Selangor akan bertemu Sabah FC di peringkat separuh akhir selepas pasukan itu mara dengan menyingkirkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) menerusi agregat 5-2.

Gamel turut menyuarakan kebimbangan terhadap jadual perlawanan yang terlalu padat, yang disifatkannya tidak membantu pasukan.

“Saya tak tahu bagaimana kalendar ini disusun. Ia tidak membantu kami, tapi kami akan hadapi apa saja cabaran,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN