PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpendapat keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap hukuman tujuh pemain warisan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan diubah.
Bagaimanapun, Baginda yang juga pencetus revolusi Harimau Malaya tidak menolak kemungkinan besar hukuman itu hanya akan diringankan dan pemotongan mata bakal dikenakan terhadap pasukan kebangsaan.
“Saya rasa FIFA tidak akan tukar keputusan. Cuma kalau ditukarkan mungkin diringinkan sedikit hukuman tersebut.
“Kemungkinan pasukan kebangsaan akan dipotong mata dan pemain tersebut digantung, berapa lama mereka akan digantung saya tidak tahu, tetapi pihak peguam daripada pasukan kebangsaan akan menjalankan tugasnya,” katanya Tunku Mahkota Ismail, semalam.
Terdahulu, tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA.
Tambah Tunku Mahkota Ismail, sepatutnya semua pihak mengambil tanggungjawab dan tidak menunding jari mencari kesalahan, sebaliknya bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
“Semua yang terlibat patut bertanggungjawab termasuk saya. Kita di sini sepatutnya bukan mencari salah siapa tetapi mencari jalan penyelesaian macam mana nak selesaikan isu ini. Kita telah hantar rayuan kita dan tunggu keputusan FIFA,” jelasnya.
Dalam masa sama, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan bahawa baginda hanya sebahagian daripada pemain industri bola sepak dan sekadar bertindak membantu pasukan kebangsaan menerusi dana daripada kerajaan.
Malah, baginda tidak berhubung dengan mereka secara langsung dan cuma mengarahkan sama ada ejen atau pencari bakat merujuk perinciannya kepada FAM.
Dalam masa yang sama, Tunku Mahkota Ismail tidak bersetuju dengan tindakan FAM yang menggantung Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman sebagai tindak balas kerana kesilapan pengurusan dokumen.-UTUSAN










