PETALING JAYA: Seluruh ekosistem bola sepak negara perlu bersatu di belakang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bukannya memilih jalan berpuak atau menuding jari.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa, berkata, Pemangku Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kini sedang berusaha keras mengembalikan maruah Harimau Malaya.
Katanya, langkah yang diambil bukan mudah, tetapi ia dilakukan secara berani dan konsisten demi memastikan bola sepak Malaysia kembali dihormati.
“Ketika saat genting ini tidak perlulah berpuak-puak atau bergaduh sesama sendiri. Apa yang penting adalah kita mengetepikan perbezaan dan memberi fokus kepada matlamat utama.
“Perkara yang lebih besar ialah memastikan semua pihak bersatu, sama ada peminat, pemain, jurulatih atau pentadbir bola sepak. Jika kita memilih untuk terus berpecah, luka yang ada akan menjadi semakin parah dan sukar untuk dipulihkan.
“Dalam keadaan sekarang, jalan terbaik adalah saling menyokong dan berdiri bersama. Hanya dengan cara itu kita mampu membantu FAM mengharungi badai besar yang sedang melanda,” katanya.
Beliau turut menyifatkan krisis ini sebagai detik penting untuk semua pihak yang terbabit dalam kancah bola sepak negara, kembali merenung kelemahan dan menjadikannya pengajaran berharga.
“Ketika ini bola sepak negara dilanda ujian yang cukup besar. Ia bukan sekadar menguji kredibiliti FAM, tetapi juga sejauh mana kita sebagai satu bangsa bola sepak mampu berdiri bersama.
“Apa yang terjadi ini harus dilihat sebagai pengajaran bermakna. Jika kita mampu belajar daripada kesilapan dan kelemahan lalu, saya yakin bola sepak Malaysia akan lahir lebih matang dan kuat selepas ini,” ujarnya.
Sadek turut mengingatkan bahawa dalam apa jua keadaan, saingan Liga Malaysia tidak boleh terjejas, kerana ia adalah tunjang pembangunan dalam melahirkan bakat baharu untuk menjadi tonggak skuad kebangsaan pada masa depan.-UTUSAN