PETALING JAYA: Pelumba berpengalaman negara, Harrif Saleh, memberi bayangan penyertaannya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang melabuhkan tirai kelmarin berkemungkinan menjadi yang terakhir.
Muncul selaku Pelumba Asia Terbaik pada peringkat pertama LTdL 2025, Harrif mengakui sedang mempertimbangkan hala tuju kariernya selepas lebih sedekad setia membawa panji Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya pun tak pasti lagi. Tengok pengurusan macam mana, tapi rasa macam kali ni mungkin yang terakhir. Kadang-kadang kita tahu bila masa nak berhenti,” katanya dalam nada sebak.
Pada usia 37 tahun, pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG) itu mengakui tubuhnya tidak lagi sekuat dulu, namun semangat juangnya tidak pernah luntur biarpun bergelut dengan kecederaan bahu sebelum perlumbaan bermula.
“Sekarang saya dah 37 tahun, memang tenaga dah tak sama macam dulu. Tapi Alhamdulillah, saya masih mampu ‘survive’ dan nak terus bagi semangat pada adik-adik.,” katanya.
Menurut Harrif, kecederaan yang dialami ketika beraksi di China sebelum ini belum pulih sepenuhnya, namun beliau enggan menjadikannya alasan untuk menarik diri daripada skuad TSG.
“Saya diam saja sebab takut nama tak masuk dalam senarai. Tapi saya memang nak juga naik LTdL tahun ni, nak bagi saingan dan tunjuk ajar pada adik-adik macam mana nak masuk pecutan akhir,” ujarnya.
Walaupun sedar saingan kini semakin mencabar, Harrif tetap berbangga apabila pelumba muda tempatan mula menunjukkan taring di peringkat antarabangsa, antaranya
Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling), Wan Abdul Rahman Hamdan dan Muhammad Nur Aiman Rosli (TSG).
“Orang kata pelumba Malaysia jauh ketinggalan, tapi Aiman dah buktikan kita tak jauh. Cuma kita perlukan lebih sokongan untuk pergi lebih jauh,” tegasnya.
Harrif atau mesra disapa ‘Mamat’ dijadualkan berlepas ke China malam ini bagi menyertai dua perlumbaan terakhir musim ini sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan bahunya.
“Bahu memang masih sakit dari awal sampai akhir. Lepas balik nanti saya nak jumpa doktor. Tapi semangat nak berlumba masih ada sebab keluarga dan anak-anak banyak bagi dorongan,” ujarnya.
Harrif menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ke-97, manakala bagi kategori Raja Pecut beliau berada di tangga ke-38 dengan dua mata.
Pencapaian terbaiknya kali ini ialah tempat kesembilan pada peringkat pembukaan di Pulau Langkawi.-UTUSAN