Disiplin pertahanan kunci kejayaan Arsenal

Disiplin pertahanan kunci kejayaan Arsenal

WILLIAM Saliba memainkan peranan besar di pertahanan Arsenal.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pertahanan kental menjadi senjata utama Arsenal musim ini bagi menghidupkan impian Mikel Arteta membawa pulang trofi ke Stadium Emirates yang sudah lama dinantikan.

Selepas lapan perlawanan, The Gunners hanya melepaskan tiga gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus membuktikan jentera pertahanan berfungsi dengan baik.

Dengan David Raya di pintu gawang dan gandingan mantap William Saliba bersama Gabriel Magalhaes di benteng tengah, rekod tanpa bolos kini menjadi identiti Arsenal musim ini.

Kekebalan itu bukan hanya terserlah di peringkat domestik, malah turut dibuktikan di pentas Eropah apabila The Gunners belum dibolosi selepas tiga aksi Liga Juara-Juara musim ini.

“Kami harap rekod ini akan membawa kepada kejuaraan di hujung musim. Lagi banyak kami hasilkan prestasi seperti ini, makin dekat kami dengan apa yang ingin dicapai.

“Rekod pertahanan kami sangat baik, tetapi kami perlu kekalkan konsistensi. Ini baru permulaan musim dan masih banyak ruang untuk diperbaiki, ” kata Arteta.

Menurut pengendali dari Sepanyol itu, sejarah menunjukkan pasukan yang mempunyai rekod pertahanan terbaik lazimnya muncul juara di mana-mana liga.

“Kebiasaannya, pasukan yang memiliki pertahanan paling kukuh akan menang liga. Semakin kuat asas pertahanan kami, semakin tinggi peluang untuk bergelar juara,” ujarnya.

Selain kekentalan di benteng, Arsenal juga mempamerkan keampuhan luar biasa dalam situasi bola mati apabila sudah menjaringkan 10 gol menerusi sepakan penjuru dan sepakan bebas.

Arteta menjelaskan kelebihan itu hasil kerja keras di padang latihan serta penekanan terhadap aspek taktikal dalam setiap situasi bola mati.

“Pertama sekali, kami cipta budaya memberi perhatian serius terhadap aspek ini. Bola sepak sentiasa berevolusi dan kami perlu menyesuaikan diri dengan cara lawan bertindak,” katanya.

Perlawanan menentang Crystal Palace di Emirates, esok menjadi medan Arsenal menebus kekecewaan musim lalu selepas diikat 2-2 yang membuka ruang buat Liverpool menjuarai liga.

“Ini perlawanan keempat berturut-turut menentang pasukan yang kami kehilangan mata musim lalu. Musim ini kami sudah berjaya menewaskan tiga lawan sebelumnya, dan fokus kami kini untuk meneruskan rentak itu,” kata Arteta.- AGENSI

KAPSYEN: William Saliba

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN