RAUB: Pelumba TotalEnergies, Joris Delbove menawan pendakian ke Bukit Fraser apabila muncul juara peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sejauh 123.1 kilometer (km) dari Temerloh sebentar tadi.
Delbove melakukan kayuhan solo berbaki 1.6km untuk menamatkan saingan dengan masa tiga jam 25 saat, menewaskan Anders Halland Johannessen (Uno X Mobility) di tempat kedua dan Yannid Voisard (Tudor Pro Cycling) ketiga dengan perbezaan dua saat.
Kejayaan itu membolehkan pelumba Perancis berusia 25 tahun itu merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 16 jam 16 minit 34 saat, meninggalkan Johannessen dan Adrien Maire (Unibet Tietema Rockets).
Matteo Malucelli (XDS Astana) mengekalkan jersi oren selaku Raja Pecut manakala Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) terus memimpin klasifikasi Raja Bukit sementara Nicolas Vinoukorov (XDS Astana) pula merampas jersi putih terbaik Asia.
Perlumbaan LTdL bersambung esok dengan peringkat keenam sejauh 123.5km dari Shah Alam ke Port Dickson yang dijangka memihak pakar pecut. – UTUSAN

 
								 
											









