PETALING JAYA: Pemain golf muda negara, Nik Alicia Miriam Kamil dan pemain dari Jepun, Daichi Hayashi, muncul juara Selangor Junior Masters 2025 yang julung kali diadakan di Kelab Golf Seri Selangor, di sini baru-baru ini.
Kejohanan selama tiga hari yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober itu menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan 104 peserta muda dari seluruh Malaysia serta pemain antarabangsa termasuk dari Estonia, India, Indonesia, Korea dan Jepun.
Daichi dinobatkan Juara Keseluruhan Lelaki selepas menamatkan tiga pusingan dengan catatan 210 pukulan (73, 67, 70), sekali gus melayakkannya menerima jemputan khas untuk bertanding dalam Selangor Masters 2026.
Sementara itu, Nik Alicia pula mengungguli kategori perempuan selepas menewaskan pencabar lain melalui playoff dramatik dengan catatan 235 pukulan (80, 81, 74), menampilkan ketenangan dan kematangan luar biasa di padang.
Selain kedua-dua juara keseluruhan itu, kejohanan turut menyaksikan beberapa nama baharu menyerlah dalam kategori masing-masing.
Antaranya, Aiden Kei Ahmad Shaharuddin muncul juara Kategori A Lelaki, Putri Natasha Ameera mengungguli Kategori B Perempuan, manakala Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry menjuarai Kategori C Lelaki.
Kejohanan yang dibahagikan kepada tiga kategori umur Kategori A (17–21 tahun), Kategori B (13–16 tahun) dan Kategori C (10–12 tahun) yang dianjurkan sebagai platform bagi mencungkil bakat pelapis sukan golf di peringkat negeri dan kebangsaan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Golf Selangor merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, yang turut menyampaikan trofi kepada para pemenang.
Turut hadir Pengerusi PKNS Golf Management Services Sdn. Bhd., Datuk Haris Kasim; Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor; Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Golf Management Services, Mohd. Zubir Idrus; Pengarah Kejohanan, Azemi Jusoh serta Pengurus Besar Operasi, Hairul Hisham Mohamad Zaini.
Hadir sama ialah duta Kelab Golf Seri Selangor, pemain profesional negara Marcus Lim dan Zulaikah Naseer, yang turut meraikan kejayaan pemain muda. Zulaikah turut bertindak sebagai pengacara majlis dengan penuh semangat dan profesionalisme.
Datuk Dr. Ahmad Fadzli dalam ucapannya menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh pembangunan sukan golf di peringkat akar umbi, terutamanya dalam kalangan remaja.
“Golf bukan sekadar sukan. Ia mengajar nilai kejujuran, kesabaran, fokus dan rasa hormat serta nilai yang membentuk bukan sahaja atlet hebat tetapi juga warganegara bertanggungjawab dan pemimpin masa depan,” katanya.
Beliau berkata, melalui kerjasama antara Jawatankuasa Pembangunan Golf Selangor dan PKNS Golf Management Services, negeri itu berhasrat menjadikan Selangor sebagai hab utama pembangunan golf remaja dengan menyediakan laluan berstruktur untuk melahirkan pemain bertaraf dunia. – UTUSAN










