KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Lee Chong Wei mengakui terdapat perbezaan ketara dalam sistem latihan membabitkan jurulatih dari Eropah dan Asia.
Sehubungan itu katanya, barisan kejurulatihan dari Eropah dan rantau Asia perlu membentuk persefahaman tinggi bagi memastikan prestasi pemain khususnya perseorangan berada di tahap optimum.
Katanya, setiap jurulatih memiliki modul tersendiri, namun pemain kadangkala berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan gaya latihan berbeza daripada kebiasaan mereka.
Tambahnya, berdasarkan pengalaman bersama bekas jurulatih dari Denmark, Morten Frost, pendekatan Eropah lebih menitikberatkan aspek teknikal dan corak permainan berbanding latihan fizikal intensif seperti diamalkan di Asia.
“Saya rasa ini kali kedua kita ambil jurulatih Eropah untuk perseorangan lelaki selepas Morten Frost. Mereka lebih suka tumpu latihan di gelanggang sahaja, tidak gemar berlari atau latihan trek seperti jurulatih Asia,” kata Chong Wei.
Jelas Chong Wei, jurulatih Eropah lazimnya mengamalkan sesi latihan lebih singkat sekitar dua hingga dua jam setengah sehari, berbanding budaya Asia yang menekankan tempoh latihan panjang dan intensiti tinggi.
Namun katanya, apa yang lebih penting adalah pemain perlu bijak menyesuaikan diri dan sanggup melakukan latihan tambahan bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi konsisten.
“Kualiti latihan itu penting, tapi pemain pun kena faham keadaan diri. Kadang-kadang selepas beberapa hari berlatih, kita perlukan masa tambahan untuk capai rentak sebenar. Sebab itu pemain dan jurulatih perlu ada keserasian,” katanya.
Chong Wei sebelum ini tampil mempertahankan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen dengan menegaskan jurulatih dari Denmark itu memerlukan masa bagi memulihkan semula kekuatan skuad perseorangan lelaki negara.
Untuk rekod, barisan perseorangan lelaki kebangsaan ketika ini masih bergelut mencari rentak dan belum mampu menyaingi pencabar utama dunia dalam kejohanan berstatus Jelajah Dunia BWF berstatus Super 750 dan 1000.-UTUSAN
Habis
HABIS: Kenneth Jonassen










