Bantuan kemanusiaan asas kepada proses damai Myanmar

Bantuan kemanusiaan asas kepada proses damai Myanmar

NIKORNDEJ BALANKURA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Thailand bersetuju meneruskan penyelarasan melalui pelbagai mekanisme ASEAN bagi memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Thailand, Nikorndej Balankura berkata, bantuan itu bukan sahaja meringankan penderitaan rakyat Myanmar, tetapi juga menjadi pendekatan utama ke arah mewujudkan dialog inklusif dan perdamaian berkekalan di negara berkenaan.

“Penyediaan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar merupakan asas untuk membina keyakinan antara semua pihak yang terlibat dalam konflik dalaman negara itu,” katanya ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Nikorndej berkata, pihaknya turut menggalakkan perbincangan inklusif antara semua kumpulan bagi memastikan pilihan raya umum Myanmar yang dijadualkan pada Disember 2025 dapat dilaksanakan secara bebas, adil dan telus.

Katanya, Thailand juga mempromosikan penglibatan secara konstruktif antara pihak berkepentingan di Myanmar, negara serantau dan rakan antarabangsa bagi menyokong proses damai di negara berkenaan.

“Perbincangan yang melangkaui isu pilihan raya juga penting kerana ia merupakan elemen utama dalam proses keamanan yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN