Bukan kemenangan mudah buat JDT- Munoz

Bukan kemenangan mudah buat JDT- Munoz

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva (tengah) diasak oleh dua pemain PDRM FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin. Foto SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menegaskan kemenangan 7-0 ke atas PDRM dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin bukan satu kemenangan yang mudah.

Dia menyifatkan PDRM memberi tentangan sengit kepada pasukannya terutama di awal permainan sebelum Harimau Selatan menemui sentuhan jaringan menerusi gol pembukaan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-28.

Pengendali berusia 45 tahun itu, akui gembira dengan persembahan diperagakan barisan pemainnya dan menjelaskan bahawa JDT masih dalam proses untuk membentuk corak permainan ke tahap terbaik.

“Tidak, ia bukan kemenangan mudah. Jika anda lihat keputusan memang anda fikir ia kemenangan mudah, tetapi kali terakhir kami bermain di sini kami kehilangan mata. Saya fikir mereka (PDRM) memberikan saingan sengit, mereka menekan kami dalam 20 hingga 25 minit pertama.

“Apabila kami menemui jaringan, permainan terbuka dan selepas itu kami bermain lebih tenang dan memahami bila masa yang sesuai untuk menyerang. Memang benar hari ini kami mempamerkan persembahan yang amat baik, tahniah kepada pemain atas kesungguhan mereka.

“Kami masih berusaha memperbaiki gaya permainan dan meningkatkan bahagian serangan. Kami ada banyak peluang, memang benar kami menjaringkan tujuh gol tetapi kami boleh jaringkan lebih banyak gol,” katanya.

Kemenangan besar JDT disumbang dengan jaringan, Arif Aiman dan Jairo Da Silva meledak dua gol manakala penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson Da Silva, Eddy Israfilov dan Romel Morales masing-masing meledak satu gol.

Keputusan itu membolehkan JDT yang juga juara bertahan 11 kali berturut-turut mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas dengan mengumpul 21 mata selepas tujuh perlawanan manakala PDRM yang meraih enam mata menghuni kedudukan kelapan.

Sementara itu, jurulatih PDRM, Eddy Gapil berkata kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya menjadi faktor pasukannya tewas dengan jaringan besar.

“Apabila anda melakukan kesilapan mudah terutamanya bermain dengan pasukan seperti JDT, sudah tentu kita akan dihukum. Jadi, apa yang saya nampak pemain kami banyak melakukan kesilapan mudah,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN