LONDON: Kegembiraan Mikel Arteta selepas skuad kendaliannya berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) direncatkan oleh kecederaan kapten pasukan, Martin Odegaard.
Pemain tengah itu sekali lagi dilanda kecederaan kecederaan dalam kemenangan 2-0 ke atas West Ham, semalam yang melonjakkan mereka ke tangga teratas mengatasi Liverpool.
Pemain Norway itu mencatat rekod tidak diingini apabila menjadi pemain pertama dalam sejarah EPL yang dikeluarkan sebelum separuh masa dalam tiga penampilan berturut-turut.
Odegaard turut dikeluarkan ketika The Gunners melakar kemenangan ketika menentang Leeds dan Nottingham Forest akibat kecederaan di bahagian bahu.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu kelihatan sudah pulih selepas beraksi dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Olympiakos dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).
Bagaimanapun, dia sekali lagi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 di Stadium Emirates, kelmarin selepas bertembung lutut dengan pemain West Ham, Crysencio Summerville.
“Saya rasa dia berlanggar, lutut bertemu lutut dan serta-merta dia berasa tidak selesa. Saya baru sahaja bercakap dengannya dan dia tidak positif mengenainya.
“Kita perlu tunggu dan lihat sejauh mana kecederaan itu. Kami perlu mencari penyelesaian tetapi sudah tentu dia kapten kami dan pemain yang memberikan dimensi berbeza, terutama dalam serangan.
“Kita tunggu dan harap ia tidak terlalu serius,” kata Arteta, yang turut memaklumkan Odegaard terpaksa memakai pendakap lutut selepas perlawanan.
Selain itu, Arteta berpeluang meraikan aksi ke-300 sebagai pengurus apabila Arsenal kini satu mata mengatasi Liverpool, yang tewas untuk kali ketiga berturut-turut di Chelsea.
“Saya mahu berterima kasih kepada semua orang, terutama kakitangan kejurulatihan yang bersama saya sejak hari pertama dan tanpa mereka mustahil untuk melakukan tugas ini dan menikmatinya.
“Saya mahu meraikan dengan kemenangan, dan saya dapatkannya. Sekarang kami ada rehat antarabangsa untuk menikmatinya dan juga gunakan masa ini untuk membuat persiapan kerana selepas rehat nanti cabaran yang menanti akan jadi sangat sukar,” tambah Arteta.- AGENSI