PETALING JAYA: Pemain sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi wajar dijadikan teladan dan sumber inspirasi kepada pemain muda negara untuk mencapai tahap tertinggi dalam karier bola sepak.
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, prestasi Arif Aiman diiktiraf selepas tercalon dalam Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Beliau berkata, pencalonan tersebut membuktikan bahawa pemain tempatan juga berupaya bersaing di peringkat Asia sekiranya memiliki disiplin tinggi dan semangat kerja luar biasa.
“Ini kali pertama pemain dari Malaysia dicalonkan untuk anugerah berprestij itu, dan lebih membanggakan, ia datang daripada pemain tempatan. Ia satu pencapaian besar yang mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut Mohd. Yusoff, pemain-pemain muda wajar mencontohi kerja keras dan dedikasi Arif Aiman yang kini dianggap antara pemain paling berpengaruh dalam skuad kebangsaan.
Tambahnya, kejayaan pemain berusia 23 tahun itu juga membuktikan bahawa asal-usul atau keturunan bukan faktor penentu dalam pemilihan pemain untuk mewakili negara.
“Kalau mereka berusaha bersungguh-sungguh seperti Arif, tidak mustahil satu hari nanti mereka juga boleh berdiri sebaris dengan pemain terbaik Asia.
“Ramai berpendapat kita perlukan pemain warisan, tetapi sebenarnya yang penting ialah kualiti, prestasi dan tahap permainan. Jika pemain tempatan berada di kelas tertinggi, mereka tetap layak menyarung jersi Malaysia,” ujarnya.
Mohd. Yusoff turut menegaskan bahawa ramai pemain tempatan memiliki potensi besar, namun mereka perlu memperkukuh aspek disiplin, komitmen dan semangat juang untuk menyaingi tahap profesionalisme pemain di luar negara.
Untuk rekod, Arif Aiman merupakan pemain kedua dari rantau Asia Tenggara selepas Therdsak Chaiman dari Thailand yang pernah dicalonkan bagi anugerah berprestij itu pada tahun 2003.
Turut bersaing untuk gelaran Pemain Terbaik Tahunan AFC kali ini ialah Akram Afif dari Qatar, yang berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain pertama memenanginya tiga kali, serta Salem Al Dawsari dari Arab Saudi yang memburu kemenangan kedua.
Pemenang anugerah tersebut akan diumumkan pada Majlis Anugerah AFC 2025 di Riyadh, Arab Saudi, hari ini.-UTUSAN