MANCHESTER: Melakar tiga kemenangan berturut-turut menjadi sasaran Manchester United dalam aksi berdepan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), esok.
Pengendalinya, Ruben Amorim berkata, kemenangan 2-1 ke atas Liverpool minggu lalu perlu dilupakan bagi memberi tumpuan penuh kepada kunjungan Brighton di Old Trafford.
United melakar dua kemenangan berturut-turut buat kali pertama di bawah kendalian Amorim dengan kemenangan 2-1 di Anfield menjadi bualan kebangkitan The Red Devils.
Dalam aksi berkenaan, Harry Maguire menjadi wira apabila tandukannya menghadiahkan kemenangan buat United, sebelum itu mereka menewaskan Sunderland 2-0 di Old Trafford.
Keputusan Amorim untuk menurunkan Matheus Cunha menggantikan Benjamin Sesko serta melakukan perubahan di bahagian tengah menerima pujian.
“Ia adalah hari yang baik dan kini saya bimbang tentang Brighton. Ia sangat bermakna tetapi esok, ia akan kurang bermakna,” kata Amorim.
Penjaga gol Red Devils, Senne Lammens menunjukkan prestasi cemerlang di gawang United apabila menyelamatkan lima percubaan berbahaya ketika menentang Liverpool.
Lammens menggantikan Altay Bayindir berkata, dia berazam untuk mengekalkan tahap prestasinya.
“Saya cuba sedaya upaya. Saya rasa saya agak baik dalam hal ini, cuba untuk menutup gangguan dari luar,” kata Lammens.
United menyasarkan tiga kemenangan berturut-turut di bawah kendalian Amorim buat kali pertama sejak era Erik ten Hag tahun lalu.
Mereka juga telah meraih tiga kemenangan berturut-turut di laman sendiri dalam liga menyamai jumlah kemenangan yang dicapai dalam 13 perlawanan di tempat sendiri sebelum ini.
– AGENSI










