PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak mahu terburu-buru menjatuhkan sebarang hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selagi proses rayuan dan perundangan melibatkan badan induk itu masih belum selesai sepenuhnya.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pihaknya kini mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan kes tersebut masih di bawah semakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus perlu melalui proses perundangan yang lengkap sebelum sebarang tindakan diambil di peringkat Asia.
Menurut Windsor, AFC menghormati hak FAM untuk mendapatkan keadilan melalui saluran yang sah termasuk Jawatankuasa Rayuan FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menjadi peringkat terakhir dalam proses tersebut.
“Segalanya kini bergantung kepada FAM kerana kami menanti keputusan rayuan terakhir sama ada daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA atau CAS.
“Sebaik keputusan itu dimuktamadkan, AFC akan menerima laporan penuh daripada pihak berkenaan sebelum Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
FIFA sebelum ini mengenakan hukuman berat terhadap tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen kelayakan, selain menjatuhkan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal, kesemuanya didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Menurut laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Difahamkan, jika rayuan FAM tidak diterima oleh FIFA atau CAS, antara hukuman minimum yang boleh dikenakan AFC ialah pemotongan mata terhadap pasukan kebangsaan, seperti termaktub dalam statut badan induk bola sepak Asia itu.-UTUSAN

 
								 
											









