MANCHESTER: Kemenangan 2-1 ke atas Chelsea meredakan tekanan terhadap pengurus Manchester United, Ruben Amorim selepas permulaan hambar di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus kelahiran Portugal itu berjuang untuk mengelak daripada dipecat dan kemenangan ke atas The Blues diraih selepas penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, dilayangkan kad merah seawal minit kelima di Old Trafford.
Bruno Fernandes pantas meletakkan United di depan dengan gol ke-100 bersama kelab itu pada minit ke-14 sebelum Casemiro menggandakan kelebihan pada minit ke-37.
Pemain tengah Brazil itu sendiri diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan babak pertama dan gol Trevoh Chalobah pada minit ke-80 buat Chelsea gagal menghalang United meraih kemenangan.
Selepas memulakan musim dengan berada hanya sedikit di atas zon penyingkiran, skuad Amorim kini melonjak sementara ke tangga kesembilan, sekali gus memberi sedikit ruang bernafas buat Amorim.
“Ia amat penting. Saya fikir kami layak menang, tetapi kami sering menyukarkan diri sendiri. Saya rasa kami memulakan perlawanan dengan baik dari segi agresif, menekan lawan dan menunjukkan kehadiran kami.
“Sudah tentu, kad merah penjaga gol banyak membantu kami, tetapi kami mengawal permainan, kami menjaringkan dua gol. Ketika semuanya berjalan lancar, kami sendiri yang merumitkan keadaan dengan kad merah itu.
“Separuh masa kedua saya rasa kami menangani permainan dengan baik, tetapi di hujungnya, 15 minit terakhir agak sukar untuk kami. Mereka menjaringkan gol dan kami terpaksa bertahan bersama-sama, akhirnya berjaya menang,” kata Amorim.
Selepas permulaan musim yang begitu buruk, Amorim berbangga dengan cara United menaikkan semangat untuk mengesahkan kemenangan kedua mereka musim ini dalam semua pertandingan.
United gagal meraih kemenangan berturut-turut dalam aksi EPL musim lalu dan Amorim mencabar anak buahnya untuk menamatkan rentetan hambar itu di Brentford hujung minggu depan.
“Kadang-kadang kami ada detik yang mana kami berasakan keperluan mendesak untuk mendapat keputusan positif. Pasukan ini sudah banyak kali menunjukkan kami ada keperluan mendesak itu,” katanya.
“Hari ini kami menang. Memang seronok untuk menang, tetapi lupakan itu dan kembali kepada keperluan mendesak itu. Kami perlu menang perlawanan seterusnya. Itulah perkara paling penting.
“Sebab di kelab besar bukanlah perasaan: ‘hari ini perlawanan yang baik, mari berehat sedikit’. Jadi, mari kembalikan semula keperluan mendesak itu.” –AGENSI