PETALING JAYA: Harapan atlet 400 meter (m) negara, Umar Osman untuk mencipta kejutan di Kejohanan Olahraga Dunia lebur selepas menamatkan perlumbaan di tempat tercorot saringan ketiga di Stadium Nasional Jepun, hari ini.
Beraksi menerusi tiket wild card, pelari berusia 22 tahun itu hanya mencatat 46.43 saat (s), jauh daripada rekod kebangsaan 46.09s yang dilakukannya ketika Sukan Universiti Dunia 2023 di Chengdu, China.
Keputusan itu bermakna Umar gagal memperbaharui catatan peribadi terbaiknya, sekali gus menutup tirai penampilan sulung di pentas dunia tanpa sebarang kejayaan manis.
Saringan ketiga didominasi pelari Amerika Syarikat (AS), Jacory Patterson yang mencatat masa 43.90s, diikuti Rusheen McDonald dari Jamaica (44.38s) dan Edoardo Scotti dari Itali (44.45s).
Hanya tiga pelari teratas bersama enam catatan terpantas keseluruhan mara ke separuh akhir, manakala Umar terkandas dengan catatan paling perlahan dalam saingannya.
Biarpun menamatkan saingan di tangga terbawah, penyertaan anak jati Johor itu dianggap pengalaman berharga dalam usaha memperbaiki prestasi menjelang kejohanan besar akan datang. – UTUSAN