KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak akan beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.
Pasangan No.3 dunia yang baru sahaja mencipta sejarah sebagai juara dunia di Paris minggu lalu itu belum berada pada tahap kecergasan terbaik selepas pulang dari Perancis.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, Tang Jie-Ee Wei tidak ke Hong Kong bagi membolehkan mereka kembali mendapatkan stamina.
“Untuk Terbuka Hong Kong, kita tidak hantar Tang Jie-Ee Wei ke sana. Pada awalnya, mereka memang nak pergi tetapi kelmarin mereka cakap kondisi agak kurang, terutamanya Ee Wei.
“Kurang latihan juga menjadi punca. Kalau pergi ke sana, mungkin akan penat, jadi kita tarik diri disebabkan oleh kondisi dan fokus China (Masters),” kata Nova selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Sekiranya menyertai Terbuka Hong Kong yang berstatus Super 500 itu, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan menentang pasangan England, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen pada aksi pusingan pertama di Koliseum Hong Kong.
Penarikan diri ke Terbuka Hong Kong itu tidak menjejaskan kedudukan Tang Jie-Ee Wei kerana mereka sudah mengesahkan slot automatik ke Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China pada Disember ini.
Dalam pada itu, Nova menjelaskan tempoh singkat selepas Kejohanan Dunia menyebabkan anak buahnya tidak sempat menjalani latihan intensif yang cukup untuk menghadapi kejohanan seterusnya.
Keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan jangka panjang memandangkan Tang Jie-Ee Wei kini antara sandaran utama Malaysia dalam mana-mana kejohanan berprestij musim ini.
“Setelah layak ke Jelajah Dunia Akhir, kita akan tengok dahulu kejohanan-kejohanan yang akan disertai nanti. Mungkin fokus pada Jelajah Dunia Super 750 atau 1000 sahaja,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah gemilang Ahad lalu apabila menjadi beregu campuran pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia selepas menundukkan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.-UTUSAN