PETALING JAYA: Beregu campuran No. 3 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan slot ke final selepas membenam gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada separuh akhir Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China, hari ini.
Juara dunia itu mengambil masa selama 1 jam 20 minit sebelum beroleh kemenangan berharga ke atas beregu tuan rumah 22-24, 21-19, 21-17 di Shenzhen Arena.
Kemenangan tersebut menyaksikan beregu campuran No. 1 Malaysia itu merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Yan Zhe-Dong Ping kepada 3-6.
Kejayaan itu juga mengulangi pencapaian cemerlang Tang Jie-Ee Wei yang menundukkan Yan Zhe-Dong Ping pada Sukan Olimpik Paris, tahun lalu.
Pada perlawanan akhir, esok, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan pasangan No. 4 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.
Berdepan beregu dari negara tetangga itu, jika rekod pertemuan diambil kira Tang Jie-Ee Wei ketinggalan 1-3.
Kekalahan terakhir menimpa gandingan Malaysia itu di tangan Dechapol-Supissara ialah pada separuh akhir Terbuka Indonesia, Jun lalu.
Namun begitu, kekalahan tersebut berlaku ketika Tang Jie-Ee Wei berada dalam krisis dan prestasi semasa mereka kini jauh berbeza berbanding sewaktu beraksi di Istora Senayan, Jakarta. – UTUSAN










