KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menaja pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli untuk beraksi dalam saingan Moto3.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, KBS sentiasa memberi bantuan dan sokongan kepada Hakim Danish, namun sukan permotoran memerlukan dana yang banyak.
“Sejak dari tahun lepas lagi sebenarnya, kita sudah salurkan dana dan tahun ini saya kira lebih kurang hampir RM2 juta. Yang diperlukan oleh Hakim seperti dilaporkan saya ingat RM4 juta.
“Dana sedia ada kita sudah pun sedikit kehabisan daripada kerajaan sebab itu kita galakkan syarikat korporat yang ada kemampuan dan minat tampil dan bantu Hakim Danish,” katanya.
Hakim Danish beraksi cemerlang dalam saingan Piala RedBull MotoGP Rookies musim ini apabila menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan.
Berdasarkan merit, Hakim Danish layak untuk beraksi di Moto3 musim depan, namun kekangan kewangan dan penajaan dijangka menjadi penghalang pelumba kelahiran Terengganu itu,
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Hakim Danish memerlukan penajaan hampir RM4 juta semusim untuk beraksi dalam saingan Moto3 bermula musim depan.
Hakim Danish di bawah naungan ZK Racing bakal beraksi dalam Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2025 menerusi slot wildcard dalam kelas Moto3 di Sepang pada 24 hingga 26 Oktober ini.-UTUSAN