PETALING JAYA: Speedy Tigers berdepan misi wajib menang ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir Super 4 di Stadium Stadium Hoki Bihar, India, hari ini bagi memburu tiket ke final Piala Asia 2025.
Kekalahan 1-4 kepada India kelmarin membuatkan Malaysia terdesak mencari kemenangan bagi mendapatkan tiket ke final, namun jurulatih negara, Sarjit Singh enggan panik dengan situasi itu.
Di sebalik kekalahan itu, Sarjit tetap memuji persembahan pemainnya dan beliau menyifatkan terdapat peningkatan yang dipamerkan secara keseluruhan.
“Pemain bermain dengan baik tetapi kita telah melakukan kesilapan pada suku kedua. Apabila India menyerang pasukan perlu lebih ke hadapan dan bukannya ke belakang.
“Secara keseluruhan, persembahan pemain semakin baik. Sekarang, kita perlu mempersiapkan pasukan untuk menentang Korea Selatan bagi mendapatkan tempat ke final. Kita kena tewaskan Korea Selatan,” katanya.
Malaysia kini di tangga kedua, mengatasi China yang turut mengutip tiga mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Tuan rumah, India mengungguli carta Super 4 dengan empat mata, manakala Korea Selatan di kedudukan terakhir dengan satu mata.
Dua pasukan terbaik Super 4 layak ke final kejohanan manakala baki dua kumpulan lagi akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.
Sementara itu, ketua jurulatih India, Craig Fulton enggan cepat berpuas hati dengan kemenangan tersebut sebaliknya mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Kami bermain dengan baik, kami berada dalam kedudukan yang baik tetapi ada hari di mana keadaan tidak seperti yang diharapkan. Kami mencipta banyak peluang,” kata Fulton.
Dalam aksi itu, Speedy Tigers bermula garang dengan jaringan padang seawal minit kedua menerusi Muhammad Shafiq Hassan.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah yang kini menghuni ranking ketujuh dunia segera bangkit dengan empat jaringan.-UTUSAN