PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara tampil dengan aksi lebih baik apabila menempah slot lebih awal ke pusingan Super Four Kejohanan Piala Asia 2025 di Bihar, India selepas menundukkan juara bertahan, Korea Selatan 4-1, kelmarin.
Kemenangan kedua itu sekali gus menyaksikan Speedy Tigers menduduki tangga teratas Kumpulan B selepas turut melakar kemenangan sama ke atas Bangladesh pada aksi pembukaan, Jumaat lalu.
Meskipun kemaraan sudah terjamin, pengendali negara, Sarjit Singh tetap mengingatkan anak buahnya agar leka dan wajib menewaskan Taiwan hari ini bagi menutup saingan peringkat kumpulan dengan rekod bersih.
“Memang setiap perlawanan ada cabarannya. Ketika menentang Korea kita berdepan kecederaan tetapi saya harap pemain-pemain terbabit sempat pulih untuk aksi seterusnya.
“Perancangan kita jelas iaitu mahu dapatkan tiga mata ke atas Taiwan, selepas itu barulah kita beri sepenuh fokus kepada cabaran Super Four,” kata Sarjit.
Tambahnya, aksi Super Four dijangka lebih getir kerana Malaysia bakal mengharungi empat perlawanan dalam tempoh lima hari, sekali gus menuntut tahap kecergasan optimum daripada setiap pemain.
“Super Super Four sangat mencabar, saya harap kita bebas daripada kecederaan kerana perlawanan di peringkat itu akan menentukan hala tuju kita untuk ke final,” katanya.
Sebagai rekod, dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke Super Four manakala juara kejohanan akan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia 2026 di Belgium/Belanda.-UTUSAN










