PETALING JAYA: Inventori kenderaan elektrik (EV) muatan hadapan dan penangguhan semakan nilai pasaran terbuka (OMV) dijangka menyediakan sokongan jangka pendek untuk permintaan kenderaan bukan nasional pada separuh pertama tahun 2026.
Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah berkata, pengecualian cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD) akan diteruskan dan tidak terjejas oleh semakan OMV yang dijangka bermula seawal 2026.
“Model EV CKD masih menikmati kelebihan cukai sehingga 2027, sekali gus membantu mengekalkan harga yang kompetitif berbanding model import sepenuhnya (CBU).
“Sementara itu, penurunan harga yang melibatkan beberapa model EV ketika ini didorong terutamanya oleh faktor inventori, apabila pengedar berusaha menghabiskan stok yang diimport lebih awal di bawah struktur cukai terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan CIMB Securities Sdn. Bhd., Mohd Shanaz Noor Azam berkata, penangguhan semakan OMV untuk mengurangkan jumlah industri keseluruhan (TIV) bagi separuh pertama 2026, memastikan harga EV stabil selepas tamat tempoh cukai CBU.
Katanya, industri automotif Malaysia sedang melakukan penentukuran semula pada 2026 berikutan tamatnya pengecualian duti import dan eksais 100 peratus untuk EV CBU yang telah berkuat kuasa sejak 2022.
“Walaupun begitu, harga rasmi untuk model EV popular seperti BYD Atto 3, BYD Sealion dan Xpeng G6 kekal tidak berubah.
“Kami percaya ini mencerminkan inventori EV muatan hadapan yang memasuki Malaysia sebelum 28 Dis 2025, menjelang tarikh akhir cuti cukai.
“Dalam pada itu, Tesla Malaysia baru-baru ini menekankan bahawa harga untuk harga Model 3 dan Model Y akan kekal tidak berubah daripada paras 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan telah memaklumkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bahawa semakan semula metodologi pengiraan OMV akan ditangguhkan selama enam bulan lagi sehingga Julai 2026 (dari Januari 2026).
“Kami melihat ini sebagai kelegaan jangka pendek, terutamanya bagi pengeluar kereta yang mempunyai pendedahan yang lebih tinggi terhadap kenderaan yang dipasang di dalam negara, seperti Toyota, Honda, Mazda, BMW dan Mercedes-Benz,” ujarnya.
Beliau berkata, CIMB Securites menjangkakan segmen nasional akan menyumbang bahagian jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang lebih tinggi pada tahun 2026 berikutan pelancaran e.MAS 5 oleh Proton pada November 2025 dan QV-E oleh Perodua pada Disember 2025.
Menurutnya, BEV menyumbang 4.1 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu pada sembilan bulan pertama 2025 (berbanding 2.4 peratus pada 2024).
“Sementara itu, jumlah jualan kenderaan BEV dan hibrid melonjak 45 peratus tahun ke tahun pada pada tempoh sama kepada 47,783 unit, membentuk 8.2 peratus daripada TIV tempoh itu.
“BYD kekal sebagai peneraju pasaran dalam segmen BEV pada sembilan bulan pertama 2025 dengan bahagian pasaran 42 peratus, diikuti oleh Proton dengan 34 peratus. Walau bagaimanapun, EV CBU akan tertakluk kepada duti import tambahan sebanyak 30 peratus dan duti eksais 10 peratus bermula Januari 2026,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, EV yang dipasang di dalam negara akan terus menikmati pengecualian cukai sehingga 2027.
“Oleh itu, kami berpendapat jenama nasional bersedia untuk menguasai bahagian pasaran EV yang lebih besar mulai 2026 dan seterusnya apabila jenama bukan nasional secara beransur-ansur meningkatkan pengeluaran pemasangan tempatan.
“Kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ untuk sektor ini memandangkan prospek pertumbuhan yang lembap di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit,” tambahnya. – UTUSAN










