KUANTAN: Skuad futsal Malaysia berjaya mencapai matlmat memungut tiga mata penuh selepas berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 pada aksi Kumpulan G pusingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Stadium Tertutup SUKPA, malam ini.
Aksi bermula sengit dengan kedua dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapat gol awal, namun anak buah Rakphol Sainetngam lebih banyak menguasai gelanggang dengan gerakan mencemaskan penjaga gol pelawat.
Peluang terbaik tuan rumah untuk mendapatkan gol hadir melalui Syahir Iqbal Khan yang banyak mendapat bantuan hantaran dari Mohamad Awaluddin Mat Nawi tetapi sering tersasar dari pintu gawang gol lawan.
Palang juga menjadi halangan rembatan deras Syahir Iqbal untuk penyokong Malaysia meraikan jaringan gol pendahuluan, dan percubaan itu merupakan peluang terbaik yang dimiliki pemain kelahiran Kelantan itu.
Menyedari perlu menang menentang UAE untuk membuka laluan ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia pada Januari tahun hadapan, skuad negara terus berusaha mendapatkan jaringan gol.
Pada babak kedua, Rakphol membat pertukaran taktikal untuk mencari gol dan percaturannya berhasil ketika perlawanan berbaki 10 minit menerusi penyudah Mohamad Awaluddin.
Gol itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk skuad negara mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan yang turut disaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Untuk rekod, lapan juara kumpulan serta tujuh naib juara kumpulan terbaik akan menyertai tuan rumah, Indonesia ke pentas Piala Asia Futsal 2026 yang akan berlangsung di Jakarta, Januari depan.-UTUSAN