Skuad futsal Malaysia benam Bangladesh 7-1

Skuad futsal Malaysia benam Bangladesh 7-1

Pemain Bangladesh, Md Moin Ahmed (kiri) menghalang kawalan bola pemain Malaysia, Ridzwan Bakri dalam aksi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan. GAMBAR/SHAIKH AHMAD RAZIF.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Skuad futsal kebangsaan tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Bangladesh 7-1 dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Stadium Tertutup Sukpa, malam ini.

Skuad kendalian Rakphol Sainetngam mempamerkan penguasaan sejak awal permainan dan mengatur strategi menguji penjaga gol Bangladesh melalui tendangan jarak jauh.

Ridzwan Bakri hampir meletakkan skuad negara di hadapan pada minit keenam, namun percubaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekadar menggeakan inga gl lawan.

Tidak lama selepas itu, Awaludin Mat Nawi menceriakan penyokong setia di Stadium Sukpa apabila berjaya menjaringkan gol pertama skuad negara untuk mendahului anak buah Saeid Khodaromi 1-0.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak lama apabila Bangladesh berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Fayed Azim yang juga gol pertama Bangladesh sepanjang aksi kelayakan.

Malaysia kembali di hadapan selepas itu menerusi Danial Dain dan Bangladesh semakin tertekan apabila Mahadir Harahap menyumbat gol ketiga Malaysia untuk kedudukan menjadi 3-1.

Bersambung babak kedua, skuad negara bermula garang selepas sepakan Awaludin terkena tiang tetapi rembatan deras Syahir Iqbal Khan terus menuju ke dalam gawang lawan untuk gol keempat Malaysia.

Kedudukan Malaysia semakin selesa apabila Mahadhir Harahap menjaringkan gol kedua peribadinya malam ini menewaskan penjaga gol simpanan pelawat, Jannatul Nayem untuk keputusan 5-1.

Dalam masa 15 saat sahaja, Saad Sani dan Faris Johan berjaya mendapat dua gol untuk skuad kebangsaan menang bergaya dengan keputusan 7-1.

Kemenangan ini meletakkan skuad kendalian Rakphol di tangga kedua Kumpulan G, berkongsi enam mata dengan Iran, namun dipisahkan perbezaan jaringan dengan juara Asia 13 kali itu.

Skuad negara berdepan misi sukar apabila menentang Iran pada Rabu ini dan seandainya berjaya mengejutkan jaguh Asia itu, skuad negara berpeluang mara selaku juara kumpulan.

Untuk rekod, lapan juara kumpulan serta tujuh naib juara kumpulan terbaik akan menyertai tuan rumah, Indonesia ke pentas Piala Asia Futsal 2026 yang akan berlangsung di Jakarta, Januari depan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN