PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) negara perlu lebih tajam di depan gawang pada aksi menentang Mongolia dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-23, hari ini.
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain berkata, setiap peluang yang terhidang perlu diterjemahkan kepada jaringan bagi mengelak lawan mengambil kesempatan.
“Kita perlu mengekalkan corak permainan kita dan mungkin boleh bermain dengan lebih baik lagi. Apa sahaja peluang yang kita dapat perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Mesti menjaringkan gol kerana inilah masalah utama pasukan kita. Namun,sedikit sahaja kelekaan, kita akan terus dihukum lawan,” katanya.
Menurut Nafuzi, biarpun misi utama menjaringkan gol, benteng skuad negara juga perlu berwaspada bagi mengelak daripada dibolosi lawan.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun pemain dilihat sudah kembali bersemangat,namun, bayangan kekecewaan selepas dikejutkan 0-1 oleh Lubnan masih jelas dirasai.
“Selepas kekalahan itu, memang semua kecewa sebab dari segi permainan kita tidak sepatutnya kalah. Bagaimanapun, pemain perlu segera bangkit kerana pertemuan dengan Mongolia amat penting,” katanya.
Beliau menegaskan kemenangan menjadi keutamaan, sebelum memikirkan soal jaringan besar.
“Yang penting kita perlu menang dahulu. Kalau ada peluang tambah jaringan, itu bonus buat pasukan,” tegasnya.
Skuad muda negara kini dalam misi mencari kemenangan pertama apabila bakal turun menentang Mongolia pada hari ini.-UTUSAN










