PETALING JAYA: Selangor FC menamatkan episod kekalahan apabila membenam Tampines Rovers 4-2 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Sebelum ini skuad Gergasi Merah dikritik selepas tumpas dua kali berturut-turut, kalah 2-4 di tangan Bangkok United dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan tumbang 0-1 kepada Kuching City FC dalam saingan Liga Super.
Sedar perlu membina semula keyakinan penyokong di laman sendiri, Selangor mempamerkan penguasaan sejak awal permainan dan meraih gol pertama pada minit ke-18 hasil jaringan sendiri Shuya Yamashita yang tertampan bola lambungan Faisal Halim.
Pada minit ke-30, Zack Clough menggandakan kedudukan untuk skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menerusi rembatan mudah untuk menewaskan penjaga gol pelawat, sekali gus menggamatkan Stadium MBPJ.
Pada hujung babak pertama, wakil Singapura itu berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Kohya Kazama untuk kedudukan 2-1 kekal sehingga babak pertama berakhir.
Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Gergasi Merah mempamerkan kawalan di bahagian tengah dan hasilnya Faisal yang juga kapten meledak gol ketiga pada minit ke-51 untuk kembalikan meletakkan Selangor di kedudukan selesa.
Tujuh minit kemudian, giliran Alvin Fortes menambah derita pelawat untuk kedudukan menjadi 4-1.
Tersentak dengan jaringan tu, pelawat kembali menyusun permainan dan hasilnya, The Stags menambah jaringan kedua menerusi penyerang berprolifik, Hide Higashikawa pada minit ke-65 perlawanan.
Bagaimanapun, kebangkitan yang cuba dipamerkan sudah terlambat dengan perlawanan berakhir memihak kepada Selangor 4-2, sekali gus mengutip iga mata penuh di laman sendiri.- UTUSAN










