PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao mengakui pertembungan di pusingan pertama Terbuka Hong Kong adalah peluang terbaik untuk dirinya menamatkan badi kekalahan kepada Lee Zii Jia.
Bagaimanapun, Jun Hao yang kini berada di ranking ke-23 dunia itu sedar Zii Jia yang terperosok ke kedudukan 47 dunia baru sahaja kembali daripada kecederaan panjang sejak Mac lalu dan masih tercari-cari konsistensi.
“Ya, dia baru balik daripada kecederaan dan sudah lama kita tak jumpa (atas gelanggang). Jadi apa-apa pun saya akan tetap main yang terbaik.
“Bagi saya, ini memang satu cabaran lawan dia, walaupun kita tahu ianya bukan senang, tapi saya buat macam satu ujian untuk lawan dia,” kata Jun Hao selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Jun Hao sebelum ini tewas dalam ketiga-tiga pertemuan menentang Zii Jia dengan kali terakhir mereka bertembung pada suku akhir Terbuka Arctic 2023.
Namun, kali ini pemain berusia 26 tahun itu percaya faktor kecergasan dan momentum bakal menjadi kelebihan buat dirinya berbanding bkas pemian perseorangan No.1 negara itu.
Dalam pada itu, Jun Hao menegaskan pertarungan sesama pemain Malaysia sentiasa sukar kerana masing-masing sudah masak dengan corak permainan masing-masing.
Baginya, persahabatan diketepikan sebaik sahaja melangkah ke gelanggang kerana hanya kemenangan yang menjadi keutamaan.
“Tidak kira siapa pun lawannya, jika kita sudah berlatih bersama sejak kecil, kita pasti lebih mengenali corak permainan masing-masing. Jadi, ia bergantung pada strategi dan keadaan pada hari perlawanan,” katanya.
Untuk rekod, pada penampilang sulung Jun Hao di Kejohanan Dunia beliau berjaya mara sehingga pusingan kedua apabila tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto manakala Zii Jia gagal dalam kemunculan semula apabila terkandas seawal pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin.- UTUSAN