PETALING JAYA: Keletihan fizikal dan mental menjadi penghalang beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara lebih jauh di Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China.
Kelmarin, beregu No.2 dunia itu tewas di peringkat suku akhir kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-23, 21-19, 20-22 dalam sengit yang belarutan selama 1 jam 28 minit di Shenzhen Arena.
Pearly berkata, perlawanan, kelmarin, lebih banyak menguji kekuatan mental dan dalam masa sama keletihan turut menjadi ujian buat mereka berdua.
“Tetapi kalau hendak cakap keadaan fizikal, saya rasa semua orang akan keletihan. Kekuatan mental yang mendorong untuk kami terus bertahan di dalam gelanggang,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, pada pengakhirannya faktor-faktor yang dinyatakan tersebut telah mendorong mereka melakukan kesilapan.
Katanya, akibat terlalu tergesa-gesa ketika sedang mendahului pada mata akhir telah menyumbang kepada kekalahan tersebut.
“Jadi, itulah kekurangan yang perlu kami bincangkan dan memperbaiki kelemahan tersebut,” kata Pearly yang berdepan jadual padat bersama Thinaah sejak sebelum Kejohanan Dunia di Paris lagi.
Sementara itu, Thinaah pula berkata, kesabaran lawan menjadi senjata buat mereka untuk muncul sebagai pemenang dalam pertemuan tersebut.
“Mereka lebih sabar berbanding kami, saya rasa itu perkara utama. Seperti Pearly katakan tadi, kami terlalu tergesa-gesa pada penghujung aksi.
“Jadi, inilah pengajaran yang kami perlu belajar sebaik pulang ke tanah air nanti,” kata Thinaah yang mencipta sejarah buat Malaysia selepas muncul sebagai naib juara pada Kejohanan Dunia, bulan lalu.-UTUSAN