SAN FRANCISCO: Taylor Fritz muncul wira apabila menundukkan Alexander Zverev 6-3, 7-6 (7/4) sekali gus membantu Pasukan Dunia menjuarai Piala Laver 2025 dengan kemenangan 15-9 menewaskan Pasukan Eropah, semalam.
Fritz menutup kemenangan bergaya menerusi voli ‘backhand’ tepat pada mata penentuan, sebelum diraikan penuh emosi bersama rakan sepasukan serta kapten Pasukan Dunia, Andre Agassi.
“Ia pengalaman berbeza kerana kemenangan terasa lebih manis, manakala kekalahan pula lebih pedih kerana kita berjuang untuk pasukan,” kata Fritz yang turut menumbangkan Carlos Alcaraz pada Sabtu lalu.
Fritz yang juga pemain No.5 dunia mudah menguasai set pertama ketika Zverev kelihatan keletihan, namun pemain Jerman itu bangkit di set kedua sebelum berjaya memecahkan servis lawan untuk mengikat kedudukan 4-4.
Bagaimanapun, Fritz tidak goyah apabila dia mengheret permainan ke penentuan tie-break dan mengutip empat daripada lima mata terakhir untuk memastikan kemenangan.
Sebelum itu, Alcaraz sempat menghidupkan peluang Eropah apabila menundukkan Francisco Cerundolo dari Argentina 6-2, 6-1, selepas bergandingan bersama Casper Ruud menewaskan Reilly Opelka/Alex Michelsen 7-6 (7/4), 6-1 dalam acara beregu.
Namun kebangkitan Eropah dipadam Alex De Minaur apabila bintang Australia itu menundukkan Jakub Mensik dari Republik Czech 6-3, 6-4, sekali gus mendekatkan Pasukan Dunia kepada trofi dengan kelebihan 12-6.
De Minaur, yang menggantikan Frances Tiafoe, tampil cemerlang sepanjang kejohanan apabila meraih dua kemenangan selain sekali lagi menyumbang mata penting pada aksi terakhir.
Kejayaan kali ini menyaksikan Pasukan Dunia merampas kembali trofi yang mereka lepaskan tahun lalu di Berlin, manakala Eropah yang memenangi lima daripada lapan edisi sebelum ini bakal cuba bangkit pada edisi 2026 di London.- AGENSI