LONDON: Arsenal masih belum memberi kata putus sama ada kapten pasukan, Martin Odegaard dan pemain sayap, Bukayo Saka akan diturunkan Ketika berdepan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.
The Gunners dijangka membuat keputusan pada saat-saat terakhir kerana kedua-dua pemain masih perlu menjalani ujian kecergasan dan perkara itu disahkan oleh pengurusnya, Mikel Arteta, semalam.
Saka diketepikan sejak mengalami kecederaan hamstring bulan lalu, manakala Odegaard berdepan masalah bahu selepas terpaksa dikeluarkan dalam dua perlawanan terakhir di laman sendiri.
Arsenal kini berada di tangga kedua di belakang Liverpool selepas empat perlawanan dan tidak boleh kehilangan mata menentang City yang menghuni tangga kelapan.
“Jika ada peluang mereka bermain Ahad ini, ia hanya akan ditentukan selepas sesi latihan kerana mereka masih belum beraksi sepenuhnya setakat ini, jadi kami akan mendapat maklumat lebih lanjut nanti.
“Masih ada beberapa perkara perlu dipastikan, dan kita akan tahu sama ada mereka boleh menjadi sebahagian daripada skuad atau sekurang-kurangnya berpeluang untuk disenaraikan,” kata Arteta menjelang perlawanan tumpuan itu.
Pertahanan tengah, William Saliba yang dikeluarkan awal ketika tewas 0-1 kepada Liverpool, kembali ke bangku simpanan ketika meraih kemenangan ke atas Athletic Bilbao pada kempen Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini dan perlu juga menjalani ujian kecergasan.
Arteta turut mengesahkan Viktor Gyokeres dan Mikel Merino berada dalam keadaan baik selepas mengalami kecederaan kepala dalam aksi Eropah itu.
Arteta juga memuji impak pemain gantian dalam aksi pertama Liga Juara-Juara mereka.
Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard, yang bermula di bangku simpanan selepas kemasukan Eberechi Eze dan Noni Madueke, memberikan impak segera apabila kedua-duanya masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Bilbao, Rabu lalu.
“Kalau kita lihat sejarah kelab-kelab besar yang banyak memenangi kejuaraan, impak pemain gantian sentiasa sangat tinggi.
“Dalam bola sepak moden, anda perlukan kualiti itu untuk memecahkan kebuntuan. Untuk kekal konsisten setiap tiga hari pula lebih sukar. Itulah yang kami perlukan,” katanya.-AGENSI