Magis Mbappe cetus kebangkitan Perancis

Magis Mbappe cetus kebangkitan Perancis

KYLIAN Mbappe (kanan) meledak gol pertama Perancis ketika berdpan Iceland, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Penyerang Perancis, Bradley Barcola mengakui kemenangan 2-1 ke atas Iceland tidak diraih dengan mudah dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Parc des Princes, semalam.

Perancis yang ketinggalan dibantu oleh magis Kylian Mbappe untuk bangkit melakar kemenangan sekali gus mengekalkan rekod sempurna dalam kempen kelayakan Kumpulan D.

“Ia perlawanan yang sukar sepanjang 90 minit. Kami berjaya menjaringkan gol dan itu perkara paling penting malam ini.

“Selepas rehat kami cuba bermain lebih pantas untuk menggugat mereka. Kami sudah bertemu dua pesaing utama kumpulan, jadi kemenangan ini sangat penting” kata Barcola.

Kemenangan itu mengekalkan skuad Didier Deschamps di tangga teratas dengan enam mata daripada dua perlawanan, tiga mata di depan Iceland. Ukraine dan Azerbaijan pula terikat dengan satu mata selepas seri 1-1.

Iceland hampir meraih gol penyamaan dramatik dua minit sebelum tamat apabila Andri Lucas Gudjohnsen menolak bola masuk, namun Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan jaringan kerana dia dilihat menarik jersi Ibrahima Konate.

Gudjohnsen sebelum itu menghukum kesilapan Michael Olise untuk membuka jaringan pada minit ke-17, tetapi Mbappe menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum rehat.

Penyerang Real Madrid itu kemudian menjadi watak penting ketika membantu Barcola menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62.

Perancis terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir selepas Aurelien Tchouameni dilayangkan kad merah kerana terjahan berbahaya, namun tetap bertahan untuk mengekalkan rekod 32 tahun tanpa kalah di laman sendiri dalam kelayakan Piala Dunia, hanya sekali ditewaskan oleh Sepanyol.

“Mbappe berada dalam keadaan mental yang baik. Dia bekerja keras, mencipta peluang dan efektif. Dia seorang pemimpin yang sangat baik untuk keseluruhan pasukan,” jelas Deschamps berkaitan prestasi Mbappe dalam perlawanan itu.

Untuk perlawanan seterusnya, Perancis akan menentang Azerbaijan di laman sendiri pada 10 Oktober, sebelum bertandang ke Iceland tiga hari kemudian.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN