LTdL 2025 buka tirai di Pulau Langkawi

LTdL 2025 buka tirai di Pulau Langkawi

BARISAN pelumba Malaysia diperkenalkan dalam Majlis Pengenalan Pasukan yang menyertai Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025, semalam dengan aksi peringkat pertama mengelilingi lokasi ikonik iaitu Pulau Langkawi sejauh 96.7 kilometer (km) berlangsung hari ini.-MINGGUAN/ MUHAMMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 kembali menggegarkan tanah air dengan pelumba elit dunia memulakan cabaran di Langkawi, hari ini bagi peringkat pertama edisi ke-29 kejohanan berstatus 2.ProSeries itu.

Di sebalik debaran perlumbaan, LTdL kali ini tampil dengan wajah lebih segar di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) yang memasuki tahun ketiga sebagai penganjur rasmi.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, sejak diambil alih MSN pada 2023, perlumbaan ini bukan sekadar kayuhan pelumba profesional tetapi juga pesta rakyat yang menyatukan semua lapisan masyarakat.

“Dalam tempoh tiga tahun, banyak penambahbaikan telah dilakukan daripada aspek teknikal, promosi dan penglibatan rakyat.

“Teknologi moden seperti sistem komunikasi radio terkini serta liputan langsung menggunakan LiveU dan Starlink menjadikan LTdL lebih lancar dan berpatutan.

“MSN juga membuktikan setiap dana kerajaan dan penajaan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan mutu penganjuran, selain menukar persepsi negatif yang sebelum ini membayangi LTdL,” katanya.

Tambah Emir, LTdL turut memberi limpahan ekonomi besar kepada rakyat tempatan, apabila peruntukan kerajaan dan penajaan berjumlah RM24 juta berjaya diterjemah kepada pulangan hampir dua kali ganda melalui sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan.

Sementara itu, juara bertahan Jersi Oren (pecut), Matteo Malucelli tidak sabar turun beraksi pada peringkat pembukaan di Langkawi yang dianggapnya cukup mencabar.

“Peringkat pertama biasanya ada tekanan kerana semua pasukan mahu bermula dengan baik. Tapi saya suka cuaca panas dan lembap di sini, ia membuatkan saya rasa selesa. Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk buru kemenangan,” katanya.

LTdL 2025 dijangka terus mencuri tumpuan sebagai perlumbaan berbasikal terbesar di Asia Tenggara dengan penyertaan pelumba bertaraf dunia, selain terus kekal relevan sebagai medan sukan, pemangkin ekonomi dan simbol penyatuan rakyat Malaysia di jalan raya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN