PETALING JAYA: Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou mendedahkan beliau terbuka untuk berdamai dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selepas episod kontroversi melibatkan isu ganjaran kemenangan.
Pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo dan Paris itu mahu menutup segala polemik yang berlaku dan kembali menumpukan perhatian terhadap persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa.
Beliau juga percaya langkah berdamai adalah jalan terbaik bagi memastikan hubungan baik dengan badan induk itu dapat dipulihkan.
“Kenapa tidak? (mahu berdamai) Saya terbuka untuk berbincang dengan mereka. Saya akan berbincang, kalau mereka mahu.
“MPM nak jemput saya untuk berbincang, untuk berdamai, kita sentiasa boleh mengalu-alukan mereka,” kata Liek Hou pada sidang akhbar majlis penyerahan cek dari syarikat pembangunan yang berpangkalan di Johor di sini, semalam.
Pada majlis semalam, syarikat itu memberi sumbangan sebanyak RM35,000 yang mana pemaju berkenaan merupakan pihak pertama yang menghubungi beliau ketika isu ganjaran kemenangan mula menjadi bualan.
Dalam pada itu, juara dunia 14 kali itu mengakui sehingga kini beliau masih belum dihubungi oleh MPM bagi sebarang penjelasan mahupun perbincangan.
Liek Hou berkata beliau tidak terkejut apabila pihak MPM tidak menghubunginya dan menegaskan tumpuannya kini adalah untuk kembali fokus terhadap latihan dan persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa.
“Saya cuma nak buat apa yang saya nak lakukanlah. Saya mahu selesaikan masalah ini secepat mungkin sebab saya pun nak fokus pada latihan dan pertandingan saya,” katanya.
Atlet berusia 37 tahun itu juga percaya isu tersebut tidak akan menjejaskan kerjaya serta penyertaannya di bawah MPM pada masa akan datang selagi ada ruang untuk duduk berbincang.-UTUSAN