Kena bijak pilih kejohanan

Kena bijak pilih kejohanan

Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan penurunan prestasi ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan kejurulatihan negara akan mengubah strategi dengan menghantar beregu lelaki negara ke kejohanan terpilih sahaja.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berkata, ia bagi memastikan penyertaan pemain negara sentiasa berada di tahap maksimum.

Menurutnya, hampir semua pemain berkelas dunia mengalami penurunan prestasi selepas Kejohanan Badminton Dunia kerana keletihan fizikal dan mental.

“Biasa kita tengok hampir semua pemain, bukan sahaja dari Malaysia, kondisi mereka memang akan turun naik selepas kejohanan besar,” kata Herry kepada Utusan Malaysia.

Herry menegaskan keutamaan harus diberikan kepada tempoh rehat secukupnya sebelum kembali beraksi di pentas antarabangsa.

Perancangan kalendar kejohanan yang lebih seimbang dapat membantu pasangan utama negara seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali konsisten.

Menurutnya, strategi ini juga penting menjelang siri Eropah bulan depan yang bakal menguji ketahanan fizikal dan konsistensi pasangan beregu utama negara.

“Pemain mesti cukup rehat dan jangan paksa diri, kalau tidak prestasi susah untuk naik semula.

“Pilih kejohanan yang sesuai, itu kunci untuk memastikan setiap penyertaan mereka memberi hasil maksimum,” katanya.

Kesan daripada kurangnya persiapan mula terserlah apabila pasangan ranking No. 2 dunia itu terkandas awal di Hong Kong dan China Masters, sejurus pulang daripada Kejohanan Dunia.

Lebih membimbangkan, Aaron-Wooi Yik sudah tiga kali tersingkir awal dalam enam kejohanan terakhir yang mereka sertai.

Cabaran dijangka bertambah getir apabila mereka perlu menempuh siri Eropah bermula Oktober ini bermula di Terbuka Artik, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo dalam tempoh empat minggu berturut-turut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN